Kalau sudah namanya selebriti, apa sahaja yang dibuat pasti ada sahaja mata yang memerhati. Sudah cantik, dipersoalkan. Sudah menyanyi, diperdebatkan. Sudah menari, ada pula yang sibuk mencari salah. Begitulah nasib Syasya Rizal apabila tampil dengan single terbaharunya, Different.
Belum sempat lagu itu benar-benar ‘masak’ di telinga pendengar, sudah ada yang mula membuat penilaian. Ada yang mengadu kurang jelas dengan sebutan Syasya ketika menyanyi, malah ada yang menyifatkan gaya vokalnya seperti mumbling, sebutan tidak jelas.
Kemudian, timbul pula komen mengatakan Different seakan-akan membawa bayangan Dolla, daripada gaya persembahan hinggalah kepada auranya.
Tetapi Cik Bunga fikir mudah sahaja, bukankah Syasya pernah menjadi sebahagian daripada Dolla? Jadi, kalau ada sedikit persamaan dengan acuan yang pernah membentuk dirinya sebagai seorang penghibur, rasanya tidak perlulah kita terkejut sangat.
Bukan pelik pun kalau ada elemen yang masih terbawa-bawa. Identiti seseorang artis bukan sesuatu yang boleh ditukar seperti menukar baju. Cuma, yang Cik Bunga kurang berkenan apabila kritikan terhadap persembahan Syasya mula diheret kepada soal dia menari dalam keadaan bertudung.
Yang ini, maaflah, Cik Bunga tidak boleh bersetuju. Kita boleh kritik vokal. Kita boleh kata sebutan kurang jelas. Kita boleh beritahu kalau lagu itu tidak menepati cita rasa kita. Tetapi janganlah kerana dia bertudung, setiap langkah tarinya mahu dipersoalkan seolah-olah kita ini penjaga pintu kehidupan orang lain. Dia menari pun bukan gerak tari yang menghairahkan.
Syasya sendiri sudah menjelaskan bahawa dia sedang berusaha setiap hari supaya dirinya tidak tersasar daripada landasan yang ingin dipertahankannya. Perjuangan itu mungkin tidak kelihatan kepada orang yang hanya menonton satu persembahan beberapa minit. Mudah sangat hendak bercakap apabila kita berdiri di luar.
Sedangkan yang menjalani, yang menanggung tekanan, yang perlu membuat keputusan tentang dirinya setiap hari ialah orang itu sendiri.
Cik Bunga bukanlah mahu Syasya kebal daripada kritikan. Tidak. Kalau mahu berada dalam industri seni, kritikan memang makanan harian. Tetapi ada beza antara kritikan yang mahu melihat seseorang menjadi lebih baik dengan komen yang sekadar mahu memalukan.
Jadi Syasya, teruskan sahaja perjalanan. Ambil kritikan yang berguna, tinggalkan yang sekadar mahu menjatuhkan. Dalam dunia seni, tidak mungkin semua orang akan menyukai apa yang kita lakukan.
Yang penting, jangan sampai terlalu sibuk menjawab suara orang lain sehingga terlupa mendengar suara sendiri.










