BUKIT JALIL: Penyanyi dan pelakon, Marsha Milan memilih untuk tidak terlalu aktif menggunakan aplikasi Threads kerana bimbang terdedah kepada perkara yang dirasakan tidak wajar diketahui, sekali gus boleh menjejaskan emosinya.
Menurut Marsha, dia bukan seorang yang takut berdepan dengan pandangan atau komen orang ramai, namun lebih selesa mengelak perkara yang berpotensi membuatkan dirinya terdorong untuk memberikan respons negatif.
“Saya tak suka masuk Threads sebab saya rasa saya adalah orang atau artis yang bukanlah nak kata saya pengecut atau apa, tetapi saya rela untuk tidak membaca apa yang tak patut.
“Jadi, sebelum saya terbaca apa yang tak patut, saya tak masuk sangat pun Threads. Bila saya terbaca, nanti terdetik pula nak balas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Penyanyi Tangisan Seorang Pendosa itu berkata, pengalaman terbaca komen negatif sebelum ini turut menyebabkan dirinya lebih berhati-hati untuk membuka platform berkenaan.
“Sebab itu saya cakap kalau Threads, saya tak berani. Saya rasa Threads terlalu lantang untuk saya. Kalau mana yang penting, nanti adalah orang akan hantar pada saya.
“Mungkin tak sepenuhnya toksik. Tetapi daripada saya terbaca atau berada dalam situasi yang macam, ‘Eh, benda ini saya tak patut tahu,’ itu yang saya rasa tak apalah, saya pilih untuk abaikan media sosial ini.
“Walaupun saya tahu Threads sangat penting untuk pembangunan seorang artis, terutama untuk promosi dan sebagainya, tetapi bagi saya, mungkin saya bukan artis yang seperti itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman itu, Marsha berkata sikap sesetengah pengguna kadangkala berkongsi perkara negatif membuatnya lebih selesa berada di luar daripada alam maya.
“Ya, pernah, tetapi bukan mengenai saya. Jadi bagi saya, saya rasa ini tidak sihat. Saya pilih untuk jaga emosi.
“Saya sendiri lebih banyak luangkan masa secara fizikal berbanding alam maya. Tetapi alam maya pun saya pilih juga
“Oleh itu, saya ada pasukan untuk menjaga bidang yang sepatutnya. Jadi, apa yang saya perlu tahu, itu yang saya pegang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Marsha bakal menjadi salah seorang juri dalam program terbaharu Borneo Rising.
Program ini direka khusus mencungkil bakat luar biasa rakyat Malaysia khususnya yang berasal dari Borneo.
Borneo Rising bakal menampilkan gandingan dua pengacara, Zizan Razak dan Sherry Alhadad manakala barisan juri pula terdiri daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air dari Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur, termasuk Marsha Milan, serta Shila Amzah.
Borneo Rising bakal bersiaran selama lapan minggu bermula dari 6 September depan sehingga 25 Oktober 2026 secara langsung dari ITCC Mall, Penampang Sabah. -UTUSAN










