METRONOM sudah berbunyi, bergerak dalam rima sama berulang-ulang menunjukkan konsert Doves ’25 Experience sudah bermula setengah jam sebelum penyanyi Indonesia, Hindia, muncul di panggung.
Memperkenal satu-satu barisan produksi seolah-olah mengucap selamat datang kepada kita yang hadir sebagai tetamu. Tepat pukul 8:30 malam metronom terhenti, Hindia muncul dengan kertas bersepah-sepah di atas meja seolah sedang memahami sesuatu dalam gelisah.
Meninggalkan ‘keresahannya’ di meja, Hindia berjalan menuju pentas, berhenti mengejutkan seorang ‘merpati’ yang kelelahan mengajaknya menari di pentas. Suara orang-orang tercungap kedengaran sebagai pembuka pentas dengan lagu perseverance (in the face of grief), simbolik kita semua yang cuba bernafas dalam segala yang menyesakkan.
Visual Hindia atau Baskara Putra sepanjang konsert ditampilkan hitam, putih, kelabu, sama seperti cover album Doves, ’25 on Blank Canvas. Semacam jalan menuju terang, jejak pembersihan daripada kegelapan album Lagipula Hidup Akan Berakhir yang penuh gelita dan kemurungan.
Konsert dibuka dengan track yang berisi pertanyaan ‘kenapa’ dari Hated In The Nation, Cincin, Untuk Apa, Sebelum Lagu Cinta Terdengar Sama. Nada konsert kemudian berumah menjadi gelap dengan pilihan lagu Let Down, Janji Palsu, Siapa Yang Akan Datang Ke Pemakamanmu Nanti?, serta Evakuasi.
Hindia atau Baskara di hadapan 5,000 peminat sempat meluahkan rasa terkilan mengenangkan bagaimana ucapannya sering dimanipulasi, dipotong menjadi video berdurasi pendek dan dimuat naik di media sosial sehingga menimbulkan perbalahan. Pengguna media sosial pula mudah terpancing tanpa mengetahui konteks sebenar kenyataan itu dikongsikan.
“Tapi hanya melalui lagu saya boleh ucapkan apa yang saya ingin sampaikan tanpa ada orang lain yang boleh manipulasi,” katanya di tengah konsert.
Tidak hanya bercakap tentang dilema generasi muda di dalam lagu, Hindia merupakan pengkarya yang lantang membawa kritik sosial dalam lagunya menerusi Anak Itu Belum Pulang.
Baskara membawa rakaman temu ramah seorang ibu bernama Sumarsih menceritakan anaknya, Bernardinus Realino Norma Irmawan atau Wawan, seorang mahasiswa Atma Jaya yang ditembak mati dalam tragedi 1998 di Indonesia.
Bagi mengenang tragedi itu, ramai ibu bapa melakukan Aksi Kamisan, iaitu sebuah protes di mana mereka akan membawa payung hitam berdiri menghadap istana sebagai simbol bertanya di manakah hak keadilan untuk anak mereka. Hindia membawakan protes itu di panggung sekali gus memperkenalkan tragedi itu kepada peminatnya di Malaysia.
Namun Baskara lebih tegas, membuka payung dengan tulisan ‘anda seterusnya’ dengan visual seolah-olah sedang diperhatikan. Set lagu itu adalah kemuncak kengiluan konsert Hinda dengan Kami khuatir Kawam, Harga Satu Pil, Secukupnya dan YAAYO yang sangat ironi meminta orang-orang menari di hadapan visual tragedi. Mungkin Hindia memang sengaja melakukan itu.
Kemudian konsert melalui jeda tiga minit, tapi waktu itu digunakan Baskara sebaiknya untuk menunjukkan kehebatan pasukan produksi yang menayangkan secara langsung Baskara berjalan menuju pintu masuk lain di Megastar Arena. Mereka berpindah pentas, kali ini lebih minimalis, intim sekadar gitar, keyboard dan vokal.
Dalam remang cahaya lampu kuning, Hindia memperlahan waktu menyanyikan Betty, Pesisir, Membasuh, Rumah ke Rumah, A Feeling dan Kita Ke Sana. Set lagu yang berupa hal baik dan harapan masuk ke dalam terlinga pendengar macam sebuah babak baharu dalam filem selepas deretan mentera duka.
Beralih ke pentas utama, Hindia ‘memukul’ habis persembahan memicu adrenalin dengan Bayangkan Jika Kita Tidak Menyerah, Kids, Nafas, Evaluasi, Nabi Palsu, Berdansalah yang kemudian ditutup dengan Everything You Are sebuah lagu ‘kebangsaan’ peminat Hindia.
Di pentas juga ‘merpati’ gila berdansa, seolah-olah sudah mendapatkan cahaya dan harapan. Hindia tidak menutup konsert dengan gelisah atau pasrah, tapi menanam harapan di hujung nyanyian.
Metronom hayat peminat akan berjalan lagi, tapi Hindia telah mengingatkan hidup tetap selalu ada makna walau dalam dunia yang semakin menggila.










