Merdekakan diri daripada taasub duniawi

Hairul Azizi Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERDEKA merupakan kenikmatan besar dikurniakan kepada sekelian manusia. Namun umat Islam perlu memahami bahawa kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan.

Erti sebenar kemerdekaan adalah bebas daripada perhambaan kepada makhluk dan tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT selaku penguasa seluruh alam.

Ia bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Dhzaariyaat: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (QS-51:56).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi, Ustaz Hairul Azizi Mokhtar menjelaskan ayat itu mengingatkan bahawa manusia diciptakan untuk menjadi hamba Allah.

Katanya, kemerdekaan paling tinggi adalah kemerdekaan jiwa yang hanya tunduk kepada-Nya.

“Sehubungan itu, kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 harus kita syukuri. Namun janganlah syukur itu hanya pada laungan merdeka sahaja tetapi bersyukurlah dengan membebaskan jiwa daripada ketaasuban duniawi,” katanya.

Beliau menegaskan, saranan itu amat bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ibrahim: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersykur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kami, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (QS-14:7).

Hairul Azizi Mokhtar
UMUR: 45 tahun
ASAL: Kampung Lumpur, Pasir Mas

Pendidikan:
• Sarjana Pengurusan dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (2025 – kini)
• Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Mesir (2003-2006)
• Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Kandis, Bachok, Kelantan (1998-2002)
• Sekolah Menengah Ugama (Arab) Khairiah, Banggol Setol, Pasir Mas (1987 (darjah satu) – 1997)

Jawatan:
• Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi (2022-Kini)
• Imam Tua Masjid Jamek Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian (2019-201)
• Imam Tua Masjid Jamek Long Yunus, Langgar (2015-2019)
• Imam Tua Masjid Jamek Ismaili, Tumpat (2012-2015)
• Imam Tua Masjid Jamek Sultan Muhammad I, Jeli (2009-2012)

Sehubungan itu, katanya, kemerdekaan seharusnya diisi dengan melihat keamanan, kebebasan beragama, peluang pendidikan dan ketenteraman hidup sebagai nikmat Allah serta menggunakan kemerdekaan untuk melaksanakan perkara-perkara yang diredai-Nya.

“Sebab itu, kepada anak muda kita, hargailah nikmat kemerdekaan ini dengan menjaga sebaiknya identiti kita sebagai umat Islam, kerana ia diperoleh dalam keadaan penuh kesukaran, melalui perjuangan yang cukup memeritkan dengan dibayar darah, keringat dan air mata,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan agar seluruh rakyat tanpa mengira usia, kaum dan agama bersama menjaga keamanan melalui kekuatan ukhuwah serta mengetepikan perbezaan fahaman politik yang seringkali mendorong ke arah perbalahan, persengketaan dan perpecahan.

“Kekuatan ukhuwah boleh terbina dengan kecantikan hati kerana ia adalah tempat segalanya bermula. Comel di hati, maka comellah natijahnya tetapi jika tidak comel di hati, punah-ranahlah tanah air kita,” katanya.

Hairul Azizi turut menyeru generasi muda untuk mengenal diri selaku pewaris kemerdekaan negara yang memegang tanggungjawab besar untuk mengekalkan nikmat kurniaan Allah itu sekali gus menerapkan nilai tambah kepadanya dengan ilmu dan amal.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengajar bahawa setiap kita ada tanggungjawab, termasuk generasi muda.

“Jadi, kepada orang muda, isilah kemerdekaan ini dengan memerdekakan akidah, ilmu dan akhlak. Tunduklah sepenuhnya kepada Allah, guna ilmu sebagai senjata pembangunan diri, keluarga, agama dan negara serta jauhi rasuah, penipuan, fitnah, buli, permusuhan dan kezaliman.

“Di saat kita mengibarkan Jalur Gemilang, jangan sekadar lihat warna dan lambangnya tetapi ingati pengorbanan generasi terdahulu bergadai nyawa mempertahankan tanah air,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN