BUTTERWORTH : Sepasang tunang mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyamun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.
Tertuduh, Mohamad Zahir Saad dan Nur Wahidah Mohd Radzuan, masing-masing berusia 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan samun dengan merentap rantai emas yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian leher, tangan kiri serta jari telunjuk tangan kanan di bahagian dapur sebuah rumah di Jalan Assumption, di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 17 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN










