Pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk dibebas dengan jaminan RM10,000

PENGERUSI sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk yang direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah membabitkan kerugian RM1.96 juta minggu lepas, dibebaskan dengan jaminan RM10,000, hari ini.-GAMBAR/SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk yang direman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM1.96 juta minggu lepas, dibebaskan hari ini.

Lelaki berusia 53 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 1 petang ini dengan jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin.

Peguamnya, Dr. Shamsher Singh Thind berkata, anak guamnya itu memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.

“Anak guam saya tidak menyembunyikan apa-apa maklumat dan beliau juga bersedia untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, seorang lagi individu bergelar Datuk yang direman selama seminggu bersama pengerusi terbabit bagi membantu kes berkenaan turut dibebaskan hari ini.

Jumaat lalu, dua individu terbabit bersama tiga lagi suspek telah direman selama empat hari kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah terbabit.

Bagaimanapun, tiga suspek berkenaan yang terdiri daripada seorang pengarah, pengurus teknikal serta seorang kerani wanita masing-masing dibebaskan dengan jaminan pada Sabtu dan Ahad.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN