Peniaga roti canai buntu cari dana biayai pembedahan jantung anak

MUHAMMAD Firas Anaqi Farid Fakimi (kanan) bersama Roziana Husain di rumah mereka di Kampung Gertak Seratus, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pasangan suami isteri dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut berdepan kesukaran mengumpulkan wang bagi menanggung kos pembedahan jantung anaknya yang masih berbaki RM7,700. 

Roziana Husain, 38, berkata, anaknya, Muhammad Firas Anaqi Farid Fakimi berusia setahun perlu menjalani pembedahan bagi membaiki jantung yang berlubang dan tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Katanya, kos keseluruhan pembedahan berjumlah RM55,000, namun selepas menerima subsidi sebanyak RM47,300, keluarga itu masih perlu menyediakan baki RM7,700.

“Saya dan dan suami, Farid Fakimi Mohamad sedang mengumpul wang dalam tempoh singkat namun pendapatan kami tidak menentu sebagai peniaga roti canai. 

“Tidak sampai sebulan lagi Firas yang perlu menjalani pembedahan tetapi kami belum mempunyai wang mencukupi. Saya dan suami benar-benar buntu,” katanya ketika ditemui di Kampung Gertak Seratus.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk memohon bantuan daripada agensi kerajaan, namun sehingga belum menerima sebarang jawapan.

“Duit simpanan ada hanya cukup menampung kos penginapan dan perjalanan ke IJN. Sekarang kami tidak tahu bagaimana hendak mencari wang untuk baki kos pembedahan,” katanya.

Pada masa sama, Roziana berkata, mereka sebelum ini turut melalui pengalaman sama apabila anak keduanya, Muhammad Fayyadh Anaqi, 4, juga menghidap penyakit jantung.

Menurutnya, Muhammad Fayyadh Anaqi baru menjalani pembedahan utama pada Mac lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur bagi rawatan jantung.

Roziana berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi mencukupkan kos pembedahan anaknya, sekali gus membolehkan Muhammad Firas Anaqi mendapat rawatan ditetapkan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun  2006363000084145 (Agro Bank) atas nama Farid Fakimi atau menghubungi Roziana di talian 019-4097958.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN