PRN Melaka: Bersatu akui perlu ada gabungan

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui keperluan membentuk gabungan bagi mendepani sebarang pilihan raya.

Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah berkenaan penting bagi mengukuhkan kedudukan parti, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Secara umum, kita perlu ada gabungan. Tanpa gabungan, memang susahlah kita hendak bergerak sendirian.

“Kerana kekuatan bahagian-bahagian di Melaka itu sendiri belum cukup untuk kami bergerak sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu akan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti politik susulan kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat ‘tidak bersama’ Bersatu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada gabungan dimaksudkan itu bersama PN atau sebaliknya.

“Rasanya PN semakin melupakan kami. Kami ini orang baik, kami tidak lupakan orang,” katanya.

Mengenai penggunaan logo bunga raya dalam PRN akan datang, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan kepimpinan parti.

“Belum ada keputusan daripada pimpinan parti. Kita akan tetapkan nanti. Buat masa ini, kami masih menilai kekuatan di semua kawasan dan saya sendiri telah turun membuat audit atau naziran ke semua bahagian di seluruh negeri Melaka.

“Bila tiba masanya nanti, kami akan menilai dan membuat keputusan selepas itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN