HAMPIR 50 kilometer (km) jarak merangkumi empat seksyen Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang sudah dibuka di Selangor, namun ia cukup memberi manfaat dalam pelbagai sektor dan tidak terhad kepada pengangkutan dan logistik semata-mata.
Ini kerana jajaran yang sudah sedia dibuka itu turut membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada peniaga untuk mengembangkan perniagaan mereka apabila bandar-bandar utama dapat dihubungkan dengan lebih dekat.
Malah, pembinaan lebuh raya sepanjang 233 kilometer yang menghubungkan dari selatan Selangor hingga ke utara Perak itu merupakan simbol pembangunan berterusan di negara ini.
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, pelbagai pembangunan menjadi indikator penting kepada kemajuan negara dan WCE menjadi salah satu daripadanya menandakan pembinaan lebuh raya berkenaan bakal memberi kesan positif kepada ekonomi yang mampan dalam jangka masa panjang.

Ini kerana, pembinaan lebuh raya tersebut sangat signifikan untuk menghubungkan dua pintu sempadan penting iaitu Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Malah, lebuh raya berkenaan menjadi penghubung penting kepada tiga pelabuhan utama di sepanjang jajarannya yang melibatkan Pelabuhan Klang (Westport dan Northport), Pelabuhan Lumut (Lumut Port) dan Pelabuhan Pulau Pinang (Penang Port).
Menerusi sektor logistik, ia meningkatkan keupayaan jaringan pengangkutan-pengangkutan perdagangan darat apabila mendapat akses mudah ke lebuh raya dan rangkaiannya tanpa perlu melalui jalan raya persekutuan ataupun negeri dan hal itu mengurangkan kesesakan trafik.
Kesan lebih ketara pasti dapat dilihat apabila Seksyen 3 dan 4 yang terletak dalam kawasan nadi ekonomi dibuka tidak lama lagi memudahkan akses logistik ke WCE dan seterusnya jaringan lebuh raya ditambah pula tempoh perjalanan dapat disingkatkan.
Seksyen 3 sepanjang 10.1 kilometer mempunyai kepentingan strategik kerana melengkapkan hubungan dengan rangkaian lebuh raya utama di Lembah Klang yang berpotensi mempercepat pergerakan logistik di Klang dan Shah Alam menuju ke Kuala Selangor, Perak dan seterusnya ke utara Semenanjung.
Rekod terkini menunjukkan trafik di WCE telah meningkat 33 peratus, dengan jumlah penggunaan mencecah sehingga 400,000 kenderaan. Pada masa sama, kira-kira 180km jajaran WCE kini telah dibuka kepada trafik, menjadikan 97 peratus laluan boleh diakses.
Malah, dalam sektor pelancongan, kemudahan WCE menjadi antara faktor penting peningkatan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara sehingga 8 juta orang yang melawat ‘Anjung Utara’ pada tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang merupakan projek ekonomi di ‘Anjung Utara’ negeri ini antara yang bakal menerima kesan langsung daripada pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) apabila siap sepenuhnya nanti.
“WCE akan mempercepatkan tempoh perjalanan dan dengan sebab itu ia akan membuka potensi di sana. SABDA adalah contoh projek yang kita buat. Walaupun ketika ini SABDA agak perlahan tetapi ia masih progresif.
“Kalau tiada WCE, penduduk terpaksa mengambil masa sehingga dua jam bagi perjalanan antara Shah Alam dan Sabak Bernam. Mereka tak boleh tinggal di sana dan bekerja di Shah Alam kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim pula memberitahu, produk pelancongan di Sabak Bernam terutama di kawasan Sungai Besar, Sungai Panjang dan Sekinchan pada tahun lalu turut mempengaruhi jumlah pelancong harian iaitu seramai 36 juta orang.
“Jumlah pelancong kita sasarkan 8 juta orang pada tahun lalu, kita dapat 8.4 juta. Jadi pada tahun ini, kita sasarkan sehingga 9 juta orang.
“Sekarang, walaupun belum siap sepenuhnya, tetapi memberi impak positif dalam sektor pelancongan terutama di Sungai Besar, Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” ujarnya.
Susulan peningkatan dalam sektor pelancongan, bangunan-bangunan warisan yang terletak di sepanjang pantai barat Selangor seperti Istana Bandar di Bukit Jugra dan juga Bukit Malawati di Kuala Selangor mula mendapat perhatian masyarakat.
Istana Bandar di Bukit Jugra, Kuala Langat merupakan simbolik penting kepada perkembangan Kesultanan Selangor yang secara tidak langsung menjadi sebahagian kepada pembentukan negara pada hari ini.
Sementara di Bukit Malawati, Kuala Selangor pula menjadi saksi kepada kedaulatan negeri ini yang pernah diserang oleh Belanda 1784 kemudian dirampas semula oleh Almarhum Sultan Ibrahim Shah pada 1785 dalam peperangan yang dinamakan ‘Perang 1 Malam’.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah memaklumkan, akses melalui WCE menjadi salah satu faktor bangunan warisan di daerah Kuala Langat termasuk Muzium In-Situ di Pulau Carey mula menerima kunjungan ramai.
“Justeru kita tak boleh abaikan pembangunan atau pemuliharaan bangunan warisan. Begitu juga dengan bangunan-bangunan warisan di Kuala Selangor. Kalau di Sabak Bernam, kita ada muzium padi untuk kita bangunkan semula dan baik pulih,” jelasnya.
Exco Keusahawanan dan Koperasi Selangor, Mohd. Najwan Halimi pula menyatakan, kemudahan Lebuhraya WCE diibarat sebagai pemudah cara bagi para usahawan terutama di luar bandar mencari peluang mengembangkan perniagaan di bandar.
“Ia menjimatkan masa bergerak untuk mereka menghantar produk-produk dan dalam masa sama memberi peluang kepada usahawan baharu di bandar,” ujarnya. – UTUSAN










