PETALING JAYA: Usaha Pas memperkukuh penyatuan ummah bukan bertujuan menjadikan parti itu sebagai ‘abang long’ atau kuasa dominan dalam kalangan parti-parti Melayu.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, sebaliknya langkah itu untuk memastikan semua pihak dapat duduk semeja mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.
Katanya, konsep penyatuan ummah yang menjadi antara keutamaan Pas tidak bermaksud parti itu perlu mendominasi kerjasama dengan parti lain.
“Mengetuai ummah adalah keutamaan tetapi tidak membawa makna mana-mana parti yang bergabung atas penyatuan ummah ini adalah parti yang boleh dikatakan abang long.
“Maknanya mengetuai itu tidaklah sampai melihat Pas ini adalah abang long atau abang besar dalam penyatuan ini.
“Ini adalah konteks supaya semua parti-parti Melayu boleh duduk satu meja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, Pas perlu mempunyai keyakinan terhadap kekuatan dan kepemimpinan sendiri dalam menentukan hala tuju kerjasama politik termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau UMNO.
Zaid turut berpandangan Pas perlu memainkan peranan dan mengetuai kepemimpinan sekiranya mahu menerajui kerjasama politik termasuk dengan UMNO.
Khairul Nadzir Helmi berpandangan, Pas tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu termasuk Bersatu, sekiranya mempunyai matlamat yang sama dalam usaha penyatuan ummah.
“Kita tidak ada masalah untuk mana-mana parti bersama, antara parti-parti Melayu termasuk Bersatu.
“Kalau tidak boleh bersama dalam penyatuan ummah ini, barulah dalam pilihan raya yang akan datang kita akan bertembung.
“Asalkan mana-mana pihak yang mahu bersama dalam penyatuan ummah ini, pintu kita sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya. – UTUSAN










