Tropicana catat hasil RM1.16b bagi separuh pertama 2026

TROPICANA Corporation Berhad (Tropicana) mencatatkan hasil berjumlah RM1.16 bilion bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) mencatatkan hasil berjumlah RM1.16 bilion bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat RM573.9 juta atau 97.2 peratus berbanding RM590.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sama, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM9.1 juta, berbanding RM16.0 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan kerugian belum direalisasi lebih tinggi daripada saham tersenarai berjumlah RM23.1 juta.

Tidak termasuk kerugian belum direalisasi itu, Tropicana sepatutnya mencatatkan PBT RM32.2 juta, lebih dua kali ganda berbanding PBT dilaporkan sebanyak RM16.0 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2025.

Bagi suku kedua, hasil melonjak RM520.6 juta atau 157.7 peratus kepada RM850.8 juta berbanding RM330.2 juta pada suku kedua 2025, didorong oleh penyempurnaan penjualan tiga bidang tanah di Johor Bahru dan Selangor, penyempurnaan empat projek pembangunan serta hasil lebih tinggi daripada operasi teras.

PBT kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.9 juta bagi suku sama, iaitu peningkatan RM11.2 juta atau 105.4 peratus berbanding RM10.7 juta pada suku kedua tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disokong terutamanya oleh bil kemajuan lebih tinggi bagi projek-projek utama di Lembah Klang dan wilayah Selatan, penyerahan milikan kosong serta langkah rasionalisasi kos yang berterusan.

Jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM1.4 bilion pada 30 Jun 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan ketika Tropicana meneruskan pembangunan projek sedia ada serta pelancaran yang dirancang di koridor pertumbuhan utama di Malaysia.

Pengurusan Tropicana berkata, peningkatan hasil dan PBT yang dicatatkan pada suku ini disokong terutamanya oleh penyempurnaan penjualan tanah, penyiapan projek, bil kemajuan lebih tinggi serta langkah rasionalisasi kos yang berterusan.

“Pengurangan pinjaman juga mencerminkan fokus berterusan syarikat untuk memperkukuh kunci kira-kira Kumpulan dan mengekalkan pengurusan kewangan yang berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prospek, Kumpulan kekal peka terhadap persekitaran pasaran semasa dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi jualan, kemajuan projek sedia ada, pengurusan kos serta monetisasi aset terpilih, jika bersesuaian.

“Berpandukan visi OneTropicana dan nilai THRIVE, kami kekal komited untuk memperkukuh asas Kumpulan serta memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN