GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap jirannya yang berusia 80 tahun dengan menggunakan sebatang besi, Ahad lalu.
Tertuduh, Ooi Hock Wah, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dengan menggunakan sebatang besi kira-kira pukul 9.30 pagi pada 23 Ogos lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Perak, di sini.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketika prosiding ditangguhkan buat sementara waktu, tertuduh secara tiba-tiba diserang sawan sebelum dibantu oleh seorang anggota polis. Tertuduh kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia memang menghidap sawan sejak usia muda.
Selepas prosiding disambung, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong berkata, pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh selepas mengambil kira keadaan mangsa yang masih belum stabil serta sedang menerima rawatan selepas patah kedua-dua kaki dan tangan susulan kejadian itu.
Sehubungan itu, Jung Keong berkata, tarikh sebutan semula diperlukan sementara menunggu laporan perubatan mangsa serta fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin dan menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki warga emas parah akibat dipukul dengan sebatang besi oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Perak, di sini pada 23 Ogos lalu.-UTUSAN










