PUTRAJAYA: Kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak sepatutnya berlaku sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau ‘panas’ dengan isu itu apabila masih terdapat sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB) berdepan kelewatan pembayaran.
Katanya, keadaan itu memberi kesan lebih besar apabila kontraktor berdepan masalah aliran tunai termasuk ada yang terpaksa menutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.
“Berapa banyak kontraktor yang sudah tutup kedai? Berapa banyak di kalangan mereka yang disaman oleh pembekal bahan? Berapa banyak subkontraktor yang menyaman kontraktor?
“KKDW disalahkan, tetapi puncanya orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kelewatan pembayaran bukan hanya memberi tekanan kepada syarikat terbabit, sebaliknya turut menjejaskan pembekal, kontraktor kecil, pekerja dan penyedia perkhidmatan dalam rantaian ekonomi di sesuatu kawasan.
Jelasnya, satu pembayaran yang tertangguh boleh menghasilkan rantaian tekanan ekonomi yang jauh lebih besar daripada nilai pembayaran itu sendiri.
“Saya memahami kekangan fiskal yang sedang kita uruskan, tetapi perkara ini perlu ditangani secara lebih sensitif. Saya ingin memohon supaya pihak yang berkenaan itu memberikan perhatian yang serius terhadap isu ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegur pelaksanaan peruntukan yang disifatkannya tidak selari dengan peruntukan atau bajet yang sudah diluluskan.
“Bajet yang diumumkan hendaklah disalurkan! Jangan (yang) tidak ada peruntukan dalam bajet, tetapi itu yang dilaksanakan.
“Yang patut dibayar tidak dibayar, yang tidak perlu dibayar, dibayar. Yang ‘not budgeted for’ dilakukan, yang ‘budgeted for’ tidak dilaksanakan. Itu masalah di hadapan kita. Saya bukan marah, saya ‘hot’ sahaja,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pengurusan fiskal yang baik bukan sekadar mengawal perbelanjaan, tetapi turut memastikan komitmen kerajaan yang sudah dibuat diurus secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, bagi tempoh berbaki empat bulan tahun ini, KKDW perlu mengurangkan penambahan perkara baharu dan memberi tumpuan menyelesaikan projek serta komitmen yang sudah dimulakan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengarahkan semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW melaksanakan Operasi Sifar Tertangguh bagi memastikan segala isu dan projek yang masih belum diselesaikan dapat ditangani dalam tempoh berbaki empat bulan tahun ini.
Tegasnya, langkah itu perlu memberi tumpuan kepada semua projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang masih tertangguh, selain setiap isu perlu mempunyai pihak yang bertanggungjawab, tempoh masa serta keputusan yang jelas.
“Jangan lagi ada masalah yang berpindah dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain tanpa siapa yang benar-benar bertanggungjawab menyelesaikannya,” katanya.-UTUSAN










