Harga emas susut hingga RM580 segram

HARGA emas spot merosot 0.69 peratus kepada AS$4,496.90 seauns (RM582.36) pada lewat petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas merosot sehingga RM580 segram pada dagangan Isnin selepas mencatatkan kenaikan berterusan sejak beberapa minggu lalu, didorong oleh kebimbangan pasaran terhadap potensi pengetatan dasar monetari serta prospek kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Penurunan harga di pasaran domestik berpunca daripada kelemahan di pasaran bullion antarabangsa apabila para pelabur mula menilai semula perkembangan geopolitik global serta jangkaan hala tuju dasar kewangan AS.

Pada lewat petang semalam, harga emas spot merosot 0.69 peratus kepada AS$4,496.90 seauns (RM582.36) berbanding AS$4,639.20 seauns (RM601.82 segram) pada sesi penutupan Jumaat lalu.

Sementara itu, bagi kontrak niaga hadapan emas AS untuk penghantaran Disember, harga didagangkan kira-kira 0.6 peratus lebih rendah pada paras AS$4,504.90 seauns (RM583.40 segram).

Logam berharga itu mencatatkan penurunan berterusan sehingga 1.68 peratus ke paras terendah dalam sesi dagangan harian pada RM8,259.33 bagi setiap 10 gram.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, mesej terkawal yang disampaikan pada simposium Jackson Hole baru-baru ini memberikan kejelasan struktur kepada hala tuju pasaran.

“Ketiadaan elemen kejutan agresif serta penegasan dasar yang terkalibrasi daripada Fed telah diterjemahkan kepada penyusutan dolar AS dan memberi keupayaan kepada pasaran emas untuk mengukuh.

“Paras harga semasa sekitar AS$4,486.80 seauns (RM580.89 segram) kini dilihat sebagai sokongan struktural dan bukannya siling sementara oleh sebahagian besar peserta pasaran. Goldman Sachs turut mengekalkan sasaran akhir tahun pada paras AS$4,900 seauns (RM634.37 segram) tanpa sebarang semakan turun,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Tambahnya, pergerakan harga emas dijangka kekal pada trend menaik dalam tempoh terdekat selagi Fed mengekalkan kadar faedah semasa, kedudukan dolar AS kekal menyusut dan bank-bank pusat meneruskan pembelian rizab logam berharga berkenaan.

Bagi pergerakan harga perak niaga hadapan bagi kontrak Disember, harganya turut menyusut 1.08 peratus kepada RM543.51 segram selepas merosot sehingga 1.49 peratus ke paras terendah dalam sesi dagangan harian.

Sementara itu, harga perak spot antarabangsa didagangkan pada sekitar AS$66.34 (RM269.47) seauns, berbanding penutupan sesi terdahulu pada AS$66.12 seauns (RM266.34).

Tekanan jualan yang berterusan ini berlaku susulan ikrar Pengerusi Fed, Kevin Warsh untuk membasmi inflasi, sekali gus meningkatkan kebarangkalian berlakunya pengetatan kadar faedah sebelum akhir tahun.

Sentimen pasaran kekal sensitif terhadap data ekonomi makro kerana perubahan dalam jangkaan kadar faedah mempengaruhi permintaan terhadap emas, iaitu aset selamat yang tidak memberikan pulangan dividen atau faedah tetap.

Dalam pada itu, pasaran runcit tempatan diingatkan bahawa harga barangan kemas fizikal mungkin mencatatkan sedikit perbezaan berbanding kadar pasaran bullion disebabkan faktor kos pertukangan, cukai serta caj perkhidmatan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN