PETALING JAYA: Pelakon, Elisya Sandha meminta orang ramai tidak mengaitkan ibu mentuanya, pelakon dan penerbit, Sheila Rusly dalam sebarang kritikan terhadap lakonannya menerusi drama Madu atau Racun.
Menurut Elisya, dia tidak mempunyai masalah sekiranya orang ramai mahu memberikan sebarang pandangan atau kritikan terhadap dirinya mahupun drama tersebut.
“Tolong jangan libatkan ibu mentua saya. Siri ini langsung tiada kaitan dengan beliau, jadi saya sangat menghargainya jika anda tidak melibatkan keluarga saya dalam perkara ini.
“Anda boleh berkata apa sahaja tentang saya atau siri ini, tetapi tolong jangan libatkan keluarga saya. Itu adalah batas yang saya sangat tegas dan saya mahu anda menghormatinya,” katanya menerusi ruangan balas di Threads.
Elisya tampil memberikan respons tersebut selepas seorang pengguna Threads yang mengecam lakonannya dalam drama yang didakwa mengangkat unsur hubungan sejenis antara wanita.
Berlapang dada dengan teguran dan kecaman yang diterima, Elisya bagaimanapun berharap agar orang ramai tidak bersifat keterlaluan dengan mengaitkan keluarganya dalam isu yang sedang hangat diperkatakan tersebut.
“Tiada dendam atau perasaan tidak baik, cuma tolong jangan melampaui batas itu, ya. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads dilaporkan mengkritik lakonan Elisya menerusi Madu atau Racun selain menyuarakan pandangan bahawa drama berkenaan mengangkat unsur hubungan sejenis antara wanita.
Individu berkenaan berkeras menyeru orang ramai untuk berhenti menonton dan memboikot drama yang turut dibintangi Uqasha Senrose dan Aliff Aziz tersebut.
Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan turut meminta Sheila menasihati aktres itu yang dikatakan bangga melakonkan drama yang didakwa mampu memesongkan akidah dan tidak layak untuk dijadikan tontonan umum.










