Jenayah siber godam manusia eksploitasi kelemahan, tingkah laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna internet di Malaysia berpotensi tinggi menjadi mangsa jenayah siber rentas sempadan sekali gus menunjukkan ancaman digital kini semakin licik dan sukar dielak.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, penjenayah siber kini tidak lagi hanya ‘menggodam’ teknologi, sebaliknya turut ‘menggodam’ manusia dengan mengeksploitasi kelemahan serta tingkah laku pengguna.

Katanya, kaedah itu dikenali sebagai kejuruteraan sosial atau apabila penjenayah mengkaji maklumat peribadi, gaya hidup dan tingkah laku mangsa.

“Maklumat tersebut digunakan untuk melaksanakan targeted scam dengan mencetuskan emosi dan panik sehingga mangsa bertindak tanpa berfikir secara rasional.

“(Semua) 10 daripada 10 pengguna internet berpotensi tinggi menjadi mangsa jenayah siber walaupun mereka mempunyai tahap pengetahuan keselamatan siber yang tinggi.

“Ini kerana, sesiapa sahaja yang mempunyai peranti, capaian internet dan persona digital berisiko menjadi mangsa termasuk pemimpin negara, pegawai bank dan pengurus bank,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus aktif dan berusaha menangani jenayah siber yang sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi.

Katanya, statistik jenayah dalam talian meningkat tahun ini dan setakat Julai, hampir 40,000 kes melibatkan kerugian mencecah RM1 bilion.

Tambah Siraj, pihak kerajaan disaran mereformasi forum pengguna di Malaysia bagi memperkukuh suara pengguna dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin berkembang dan kompleks.

Katanya, cadangan itu penting kerana pengguna perlu mempunyai platform lebih berkesan untuk menyuarakan hak, membuat aduan serta melaporkan sebarang bentuk eksploitasi dalam ruang digital.

“Kalau MCCA sahaja bercakap tidak jadi. Kalau 100 entiti lain bercakap dengan nada yang sama, maka ia akan membentuk kuasa pengguna itu sendiri.

“Suara pengguna tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya digunakan untuk mendesak kerajaan memperbaiki dasar, polisi dan penguatkuasaan berkaitan perlindungan pengguna.

“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa perlu diperkukuh kerana jenayah siber mempunyai sifat rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran mengenai jenayah siber dalam kalangan mangsa juga boleh menjadi luput ataupun outdated kerana penjenayah sentiasa mengubah kaedah apabila langkah keselamatan dipertingkatkan.

Sebagai contoh, fail VBS (Visual Basic Script) yang menyamar sebagai PDF (Portable Document Format) atau gambar boleh mengandungi perisian berbahaya dan apabila fail itu dimuat turun, telefon pengguna boleh diceroboh dan data peribadi berisiko dicuri.

“Saya menggalakkan pengguna membuat laporan kerana laporan yang banyak dapat membantu polis dan agensi berkaitan mengenal pasti corak jenayah dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN