PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming meletak jawatan sebagai ahli DAP, berkuat kuasa semalam.
Kian Ming berkata, keputusan itu dibuat bukanlah untuk menyertai mana-mana parti lain dalam masa terdekat, bahkan tidak berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, beliau komited untuk menunaikan janji yang telah dibuat pada 10 Januari lalu iaitu membantu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membentuk karier politik pada masa depan.
“Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16).
“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.
“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam audio siar (podcast) saya ‘Are We OK’, melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, melalui kajiannya, Kian Ming meramalkan Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dan dominan dengan membolot 53 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.
Di Negeri Sembilan pula, beliau meramalkan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) memenangi 23 hingga 25 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi.
Kian Ming berkata, keputusan meletakkan jawatan telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
“Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak saya menyertai parti pada tahun 2012 sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018) dan Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022), sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2018 hingga 2020), sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dilantik (2019 hingga 2022) dan sebagai ahli Jawatankuasa Negeri DAP Selangor yang dipilih (2018 hingga 2024).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberikan oleh beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu,” katanya. – UTUSAN










