KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun, rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkaitan rasuah projek solar hibrid akan didengar hari ini.
Rayuan sepatutnya didengar pada 11 Julai 2023, tetapi ditangguhkan bagi memberi laluan terhadap permohonan Rosmah mencabar kesahihan pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dan membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar.
Pada Oktober 2024, rayuan kes rasuah solar itu terhenti sekali lagi ekoran rayuan Rosmah menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, kini Hakim Mahkamah Rayuan, atas alasan berlaku kebocoran penghakiman hakim berkenaan di media sosial.
Pada 1 Julai lalu, rayuan itu ditangguhkan pula ekoran permohonan semakan Rosmah untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dijadualkan untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai.
Pada tarikh itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan berkenaan.
Pada prosiding Julai lalu, sebelum membenarkan penangguhan akhir, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama-sama Datuk Choo Kah Sing dan K. Muniandy menetapkan 16 hari sepanjang September untuk pendengaran rayuan itu.
Panel menegaskan tiada lagi penangguhan akan diberikan dengan tarikh ditetapkan ialah 1 hingga 4, 8 hingga 11 dan 21 hingga 30 September ini.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini menjatuhi Rosmah hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.
Rosmah turut dikenakan denda RM937.5 juta bagi pertuduhan pertama, RM7.5 juta bagi pertuduhan kedua dan RM25 juta bagi pertuduhan ketiga, menjadikan keseluruhan denda perlu dibayar RM970 juta.
Sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan, hukuman penjara boleh ditambah lagi 30 tahun. – UTUSAN









