Ringgit berdepan tekanan, berlegar RM4.03-RM4.05

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.03 hingga RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat, susulan pengukuhan mata wang AS yang didorong jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pergerakan ringgit banyak dipengaruhi faktor luaran, khususnya perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Fed.

“Kenyataan Pengerusi Fed AS, Kevin Warsh pada Jumaat lalu berhubung keperluan memberi tumpuan kepada inflasi yang masih melebihi sasaran dua peratus dilihat meningkatkan jangkaan pasaran terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah.

“Situasi itu turut meningkatkan tumpuan terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 15 hingga 16 September ini yang dijangka menjadi penentu hala tuju dasar monetari AS.

“Situasi tersebut juga mengukuhkan dolar AS dan seterusnya memberi tekanan kepada ringgit serta mata wang lain.

“Dalam jangka masa terdekat, ringgit berbanding dolar AS dijangka bergerak sekitar RM4.03 hingga RM4.05,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, jangkaan kenaikan kadar Fed pada September meningkat susulan kenyataan Warsh, sekali gus menyokong pengukuhan dolar AS dan meningkatkan tekanan terhadap mata wang serantau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 September ini turut menjadi perhatian pasaran.

“Kadar inflasi dijangka kekal stabil susulan pengumuman penambahan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi.

“Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal baik dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa. Justeru itu, pihak kami menjangkakan OPR akan terus dikekalkan pada paras 2.75 peratus,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit minggu ini dijangka bergerak dalam keadaan tidak menentu dan cenderung sedikit tertekan pada awal minggu, sebelum arah seterusnya lebih jelas apabila data ekonomi AS dikeluarkan.

“Secara kasar, saya melihat ringgit berbanding dolar AS berpotensi bergerak dalam lingkungan RM4.05 hingga RM4.12 dalam jangka pendek dengan risiko ringgit melemah sekiranya data AS terlalu kuat atau Fed memberi isyarat lebih agresif.

“Sebaliknya, jika data pekerjaan AS lebih lemah daripada jangkaan dan pasaran kembali menjangkakan Fed tidak menaikkan kadar, dolar AS boleh kehilangan momentum dan ringgit berpeluang kembali mengukuh.

“Bagi perspektif lebih sederhana, prospek ringgit masih tidak buruk. 

“Kenanga Investment Bank baru-baru ini mengekalkan unjuran RM3.95 berbanding dolar AS pada akhir 2026, menunjukkan terdapat pandangan bahawa ringgit masih mempunyai ruang untuk mengukuh dalam tempoh lebih panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN