RMK13: KKDW mohon RM14.39 bilion, siling bayangan RM8.3 bilion – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memohon peruntukan pembangunan kira-kira RM14.39 bilion bagi tahun kedua 2027 menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), namun siling bayangan yang diberikan hanya sekitar RM8.3 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu mewujudkan jurang kira-kira RM6 bilion antara keperluan peruntukan yang dimohon dengan siling bayangan yang diberikan, sekali gus mencerminkan cabaran kerajaan dalam menguruskan keperluan pembangunan dengan sumber kewangan yang terhad.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi penyelarasan bersama Kementerian Kewangan, KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengarah Belanjawan untuk menyampaikan hasrat kita (untuk) menyelesaikan, menjelaskan keutamaan KKDW dan mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan.

​”Bagi Rolling Plan Kedua 2027, siling bayangan peruntukan pembangunan kita adalah sekitar RM8.3 bilion. Itu bayangan yang mereka (MOF) berikan sedangkan permohonan kita mencecah kira-kira RM14.39 bilion, ertinya jurang kekurangan kita RM6 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, berikutan ruang fiskal yang mungkin tidak sebesar beberapa tahun kebelakangan ini, KKDW perlu memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan memberikan nilai dan impak paling besar kepada rakyat.

Ia selaras prinsip pengurusan perbelanjaan yang lebih berkesan dan berasaskan keutamaan.

“Namun saya harap saya silap. Berapa pun jumlah yang akhirnya kita terima, kita mesti melihat belanjawan bukan sekadar sebagai proses membahagikan peruntukan.

“Belanjawan ialah proses menukar sumber yang terhad kepada nilai awam yang paling besar kerana dalam ekonomi, setiap keputusan mempunyai ‘opportunity cost’,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tugas memastikan setiap ringgit memberikan manfaat maksimum bukan hanya terletak pada Bahagian Kewangan atau Perolehan, sebaliknya membabitkan semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW.

Beliau berkata, program yang sudah lama dilaksanakan tidak semestinya perlu diteruskan hanya kerana ia menjadi kebiasaan, manakala program berskala besar juga tidak semestinya menjadi yang paling berkesan.

“Sekarang kita mesti bertanya, adakah masalah yang mahu diselesaikan masih wujud? Adakah pendekatan yang digunakan masih relevan? Adakah terdapat pertindihan dengan program atau agensi lain?

“Dan yang paling penting, adakah hasil yang dicapai benar-benar setimpal dengan sumber yang dibelanjakan?” katanya.

Katanya, dalam keadaan sumber terhad, kecekapan bukan sekadar bermaksud berbelanja lebih sedikit, sebaliknya memastikan peruntukan disalurkan lebih tepat dengan mengalihkan sumber daripada perkara yang memberi nilai rendah kepada perkara yang benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN