KUALA LUMPUR: Insentif perkahwinan RM500 di Perak tidak seharusnya diberikan kepada kanak-kanak kerana bantuan yang dikaitkan secara khusus dengan perkahwinan dikhuatiri mewujudkan persepsi bahawa perkahwinan bawah umur diterima, disokong atau digalakkan.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr. Farah Nini Dusuk berkata, cadangan Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan Insentif Perkahwinan Kali Pertama bagi golongan berusia 15 hingga 35 tahun perlu diteliti semula sebelum dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2027.
Menurutnya, SUHAKAM menghargai hasrat kerajaan negeri membantu golongan muda menangani cabaran kewangan dan sosial berkaitan pembentukan keluarga.
“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk insentif perkahwinan tidak seharusnya diberikan kepada kanak-kanak atau individu di bawah umur 18 tahun.
“Meskipun seseorang berusia 15 tahun boleh termasuk dalam takrifan ‘belia’ bagi tujuan pembangunan belia tertentu, perspektif hak kanak-kanak dan perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 perlu diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya bimbang kemasukan kanak-kanak berumur 15 hingga 17 tahun sebagai bakal penerima insentif perkahwinan boleh memberikan isyarat dasar yang tidak selaras dengan usaha mencegah dan membasmi perkahwinan kanak-kanak.
“Walaupun tujuan insentif tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan pasangan muda, pemberian bantuan kewangan yang secara khusus dikaitkan dengan perkahwinan boleh mewujudkan persepsi bahawa perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak diterima, disokong atau digalakkan.
“Perkahwinan kanak-kanak boleh memberi kesan besar dan berpanjangan terhadap hak serta kesejahteraan mereka, termasuk dari aspek pendidikan, kesihatan, perkembangan, keselamatan, autonomi dan kesejahteraan psikososial,” katanya.
Menurutnya, sebarang dasar atau program yang memberi kesan kepada kanak-kanak perlu dinilai berdasarkan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak termasuk mengambil kira pandangan mereka dalam perkara yang memberi kesan kepada kehidupan masing-masing.
Jelasnya, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan dalam konteks pengukuhan kerangka pendidikan menengah wajib di Malaysia yang kini melanjutkan pendidikan sehingga peringkat menengah.
“Pendidikan menengah atas merangkumi golongan berusia 16 hingga 17 tahun dan cadangan memasukkan individu berusia 15 hingga 17 tahun dalam skim insentif perkahwinan wajar dipertimbangkan dengan teliti memandangkan mereka masih dalam tempoh pendidikan menengah.
“Sekiranya Insentif Perkahwinan Kali Pertama diteruskan, kelayakan hendaklah dihadkan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri Perak mempertimbangkan pembaharuan perundangan bagi menetapkan 18 tahun sebagai umur minimum perkahwinan bagi lelaki dan perempuan beragama Islam di negeri itu.
Katanya, jika mekanisme pengecualian bagi individu bawah 18 tahun dikekalkan, ia hendaklah benar-benar bersifat pengecualian dan tertakluk kepada penilaian ketat berdasarkan kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Kita turut mengesyorkan supaya sokongan sosial kepada kanak-kanak bawah 18 tahun yang berisiko berkahwin akibat kesukaran ekonomi diberikan sebelum perkahwinan dipertimbangkan,” katanya.
Ketika ini, Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 menetapkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, manakala perkahwinan di bawah umur berkenaan boleh dibenarkan dengan kebenaran bertulis Hakim Syarie.- UTUSAN










