MELAKA: Pemberian bantuan awal persekolahan kepada keluarga B40 sedikit sebanyak meringankan beban golongan itu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak yang akan memulakan sesi pada Mac depan.
Penerima, Mohamad M. Raja Abdullah, 57, berkata, seorang daripada dua anaknya, Muhammad Shahid Mohamad M. Raja, 12, terpilih menerima bantuan persekolahan berjumlah RM100.
Katanya, pendapatan sebagai buruh kasar tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan persekolahan dua anaknya.
“Bantuan yang diterima ini sangat membantu ketika harga barangan di pasaran semakin mahal. Jadi keperluan untuk kita mendapatkan barang persekolahan anak memang terjejas.
“Pendapatan pula tidak seberapa kadang-kadang memang kita tidak mampu. Walaupun RM100 setidaknya usaha ini membela nasib golongan B40,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Kembali Ke Sekolah 2024 di Kompleks Japerun Duyong di sini, semalam.
Seramai 200 pelajar dari sembilan buah sekolah rendah dan menengah terpilih menerima bantuan berupa pakaian seragam, beg sekolah dan baucar RM100 sumbangan Theta Edge Berhad (Theta).
Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Rosmala Mehat, 34, berkata, perbelanjaan isi rumahnya pada Mac dijangka meningkat susulan pembukaan sesi persekolahan begitu hampir dengan Hari Raya Aidilfitri.
Dia yang bekerja sebagai juruwang berkata, jumlah pendapatan bulanannya serta suami agak terhad dan tidak berkemampuan untuk berbelanja secara berlebihan.
“Suami orang kurang upaya (OKU) dan bekerja sebagai mekanik. Kami akan menyediakan keperluan yang paling penting dahulu iaitu persekolahan anak dan kemudian untuk perkara lain.
“Jadi saya akan manfaatkan sepenuhnya bantuan ini untuk membeli baju sekolah anak. Sekurang-kurangnya kami dapat menyimpan sedikit duit gaji untuk sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Teknologi Kumpulan Theta, Effie Rizal Mustafa Kama berkata, syarikat itu memperuntukan kira-kira RM75,000 kepada 750 pelajar bagi Program Kembali Ke Sekolah 2024 untuk tempoh suku pertama tahun ini. – UTUSAN










