Pas ajak UMNO kembali ke pangkal jalan

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mengajak UMNO bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan kerana didakwa tersalah memilih rakan dalam politik menerusi Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO semakin lemah selepas memilih bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, sekali gus menyebabkan pegangan terhadap dasar Islam dan Melayu semakin goyah.

Perkara itu dinyatakan Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas bertajuk ‘UMNO: Rumah yang dicabut paku lantai’.

“Apa dilakukan sekarang, UMNO sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan,” katanya hari ini.

Abdul Hadi turut menjawab dakwaan, jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO hanya akan membunuh UMNO yang kini diterajui Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Alasan yang diberikan UMNO terkini iaitu Pas akan membunuh UMNO adalah tidak benar. Dalam sejarahnya, kerjasama dahulu berjaya memperkasakan Islam secara berperingkat dan menghapuskan kegiatan penjajah dalam jabatan kerajaan,” katanya.

Abdul Hadi membandingkan keadaan itu dengan pengalaman Pas menyertai kerajaan campuran pada 1974 ketika era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein, yang menurutnya memberi ruang kepada Pas untuk berada dalam kerajaan walaupun parti ketika itu masih lemah.

Katanya, kuasa politik umat Islam semakin lemah apabila UMNO memberi ruang kepada banyak parti kecil dalam pembentukan kerajaan campuran.

“Apabila orang Melayu bersuara membangkitkan haknya, mereka dianggap rasis. Ada pun apa yang dilakukan oleh pihak lain pula, dianggap sebagai kebebasan bersuara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN