IPOH: Air Sungai Perak yang berubah warna kebiruan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai disahkan masih berada dalam kategori Kelas II Indeks Kualiti Air (IKA) Malaysia berdasarkan analisis lebih 30 parameter kualiti air.
Pakar sains alam sekitar, Dr. Abdul Rani Abdullah berkata, sampel air yang diambil ketika fenomena itu berlaku dianalisis bagi menentukan keadaan sebenar sungai termasuk kandungan logam, pepejal terampai serta parameter lain yang berkaitan.
Menurutnya, hasil analisis mendapati hampir keseluruhan parameter yang diuji masih berada pada tahap yang membolehkan air Sungai Perak digunakan bagi kegunaan yang ditetapkan di bawah Kelas II termasuk rekreasi, perikanan serta sebagai sumber air mentah untuk dirawat.
“Bila kita kata selamat, kita kena tanya, selamat untuk apa? Kalau kita bercakap mengenai air mentah untuk dirawat melalui proses konvensional, berdasarkan data yang kita ada, kualitinya masih berada pada tahap yang membolehkan ia menjalani rawatan konvensional.
“Jika kualiti air itu sesuai untuk dirawat bagi tujuan bekalan air, saya boleh katakan ia juga selamat untuk sistem pertanian,” katanya kepada media baru-baru ini.
Profesor Adjung di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bagaimanapun menegaskan, status Kelas II tidak bermaksud air sungai itu boleh diminum secara terus.
“Tidak ada air sungai yang sepatutnya diminum secara terus, ia perlu melalui proses rawatan terlebih dahulu,” katanya.
Fenomena perubahan warna air Sungai Perak itu sebelum ini turut mencetuskan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai kemungkinan kaitannya dengan aktiviti perlombongan di kawasan Sungai Rui serta kejadian ikan mati yang dilaporkan di beberapa lokasi.
Mengulas perkara itu, Abdul Rani berkata, berdasarkan data kualiti air yang diperoleh, kandungan logam yang direkodkan tidak berada pada tahap cukup tinggi untuk menjadi punca kematian ikan.
“Kalau logam itu yang menyebabkan ikan mati, kandungannya perlu berada pada kepekatan yang jauh lebih tinggi daripada apa yang kami rekodkan.
“Berdasarkan pemerhatian dan data yang kami peroleh, kami rasa ia lebih kepada pepejal terampai yang tinggi, terutama selepas hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, hujan lebat boleh menyebabkan air larian membawa lumpur, sedimen dan bahan terampai dari kawasan permukaan tanah terbuka memasuki sungai sekali gus meningkatkan kandungan pepejal terampai.
Katanya, keadaan itu berpotensi menjejaskan hidupan akuatik sekiranya peningkatan pepejal terampai berlaku pada kadar yang tinggi.
Jabatan Perikanan Negeri Perak sebelum ini turut menjalankan persampelan air di dua lokasi susulan kes kematian ikan termasuk di Jeti Pulau Belayar dan Dataran Loma.
Bagaimanapun, Abdul Rani berkata, punca sebenar kematian ikan tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan analisis kualiti air kerana ia memerlukan kajian khusus terhadap ikan serta keadaan persekitaran ketika kejadian berlaku.-UTUSAN










