DUA hari lagi negara akan menyambut hari kebangsaan. Dalam kegembiraan kita meraikan tarikh bersejarah ini, ada baiknya kita merenung kembali pahit getir perjuangan nenek moyang membina negara ini, sambil membulatkan tekad untuk menggandakan usaha demi memakmurkan bumi tercinta.
Tiada seorang pun di dunia ini yang mahu hidup dalam kesusahan akibat keadaan kucar-kacir dan tidak selamat. Kita mahu negara aman, maju, sejahtera, kaya dan makmur.
Namun, semua itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha kuat dan ikhlas daripada para pemimpin dan seluruh rakyat jelata bagi mencapai matlamat yang kita inginkan.
Janganlah hanya mengharapkan negara boleh berikan segala-galanya kepada rakyatnya tetapi tanyalah juga pada diri apa yang boleh kita sumbangkan kepada negara.
Cinta kepada negara bukan hanya luahan kata-kata, juga bukan setakat laungan dan teriakan kuat tanpa usaha tegas dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Kemajuan dunia hari ini membawa bersama pelbagai cabaran baharu yang jauh berbeza berbanding apa yang dihadapi rakyat tujuh dasawarsa lalu. Kini kita hidup pada zaman dunia tanpa sempadan di mana hasil kemajuan kerap disalahgunakan sebagai senjata ampuh yang boleh memporak-perandakan perpaduan dan kemakmuran.
Atas prinsip matlamat menghalalkan cara, ada yang secara tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial sebagai alat untuk mempengaruhi orang ramai bagi menjayakan agenda mereka.
Ada yang sanggup memfitnah, menipu, memutar belit kenyataan, serta mencipta khabar angin palsu bagi mendapatkan sokongan dan keuntungan.
Malah, ada sanggup mengambil kesempatan dengan menjadikan alat penyebaran ajaran sesat dan songsang termasuk yang bersifat ganas serta melampau selain bertentangan undang-undang juga lumrah kehidupan.
Malah, serangan melalui alam maya mudah meracuni minda kerana kita diserang tanpa sedar, apatah lagi bagi kanak-kanak yang masih kecil, khasnya mereka yang dibiarkan bebas menerokai alam maya tanpa pemerhatian serta kawalan daripada ibu bapa.
Di sinilah pentingnya usaha memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada seluruh masyarakat tentang kewujudan pelbagai bentuk senjata alaf baharu supaya kita semua lebih berwaspada dan dapat membenteng masyarakat daripada mudah tertipu dan diperguna.
Negara akan lemah jika rakyatnya tidak mempunyai hala tuju yang jelas serta mudah mengikut emosi ketika membuat keputusan.
Ada yang merasakan kuasa rakyat sentiasa benar dan harus dituruti setiap masa. Masing-masing mahu kehendak mereka ditunaikan dan jika tidak, akan turun ke jalanan untuk membantah.
Pergolakan politik serta kerajaan yang kerap bertukar ganti akan menimbulkan banyak masalah. Apabila hal ini berlaku dapat membantutkan kemajuan sesebuah negara.
Dalam masa sama, ekonomi negara akan jatuh akibat situasi politik tidak stabil dan hal ini akan merugikan negara.
Maka, rakyat harus bijak memilih dan bukannya mudah terpedaya dengan gula-gula politik ditabur mereka yang gilakan kuasa. Banyak negara dahulunya hebat, berubah menjadi lemah kerana pemimpinnya tidak berwibawa serta tiada pengalaman.
Rasa cinta pada negara bukan hanya mesti disemai sejak awal usia tetapi juga harus sentiasa dibaja agar hadir perasaan patriotik yang tertanam teguh dalam jiwa setiap anak bangsa supaya kita menjadi bangsa yang kuat dan bermaruah tinggi.
Ramai daripada kita yang merasakan sejarah tidak penting untuk dipelajari berbanding bidang sains dan teknologi. Ini kerana mereka sudah dimomokkan tentang janji peluang yang lebih baik dengan gaji jauh lebih lumayan sekiranya memilih bidang tersebut.
Namun begitu, jangan sampai buta sejarah dan alpa tentang asal usul. Mereka yang buta sejarah akan menjadi seperti layang-layang yang terputus talinya, terbang melayang sekadar mengikut tiupan angin tanpa ada arah tuju sendiri.
MEMBINA MALAYSIA YANG KITA CINTAI
Jika ilmu berkenaan teknologi moden boleh membawa terbang menggapai bintang yang tinggi tetapi ilmu sejarah pula akan mengikat kita agar sentiasa terpasak di bumi. Oleh itu, setinggi mana pun kita terbang, kita tetap memahami keadaan sebenar serta taat setia kepada tanah air.
Malaysia unik di mata dunia kerana negara ini meraikan kepelbagaian budaya rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum yang berbeza.
Namun, keharmonian yang kita miliki akan terhakis jika masing-masing semakin melupakan nilai kesepakatan yang menjadi sebahagian daripada elemen penting ke arah pembentukan negara.
Justeru, setiap anak bangsa harus dididik dengan semangat kekitaan melalui pemahaman serta kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya merupakan asas kepada perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Namun, sejauh manakah perkara ini diberi perhatian oleh rakyat Malaysia? Realitinya, ramai yang gagal memahami roh Rukun Negara, apatah lagi berusaha memahami roh Perlembagaan Persekutuan. Tiada gunanya jika kita sekadar menghafal lima prinsip Rukun Negara tanpa memahami maksud sebenarnya.
Kita juga tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan pandangan dari luar tanpa mengambil kira konteks tempatan. Ada yang beranggapan kita perlu meniru atau mencapai sesuatu hanya kerana ia telah dilaksanakan di negara Barat yang dianggap lebih maju.
Namun begitu, bukan semua perkara yang berjaya di tempat lain akan berjaya di semua tempat. Kita tidak boleh mengukur kejayaan sendiri hanya berdasarkan apa yang menjadikan orang lain selesa, kerana akhirnya kepentingan utama kita ialah kemakmuran sendiri.
Jika tidak berpijak pada realiti dan akar budaya sendiri, kita bukan sahaja akan gagal menghayati keistimewaan Malaysia, malah sukar untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Lebih teruk lagi, silap-silap kita juga boleh mengeruhkan keadaan yang sudah baik.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia 2026. Semoga sambutan ini tidak sekadar membawa semangat kenegaraan kepada semua tetapi juga perasaan bertanggungjawab untuk memakmurkan masyarakat dan negara ke arah kecemerlangan berpanjangan. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










