MUKADIMAH
KEMELUT yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak beberapa bulan lalu bukan sekadar menguji kepimpinan, malah turut menguji kesetiaan ahli di peringkat akar umbi.
Ketika sebahagian pemimpin memilih untuk berundur, sayap Bersatu, Srikandi masih menunjukkan kekuatan dengan majoriti kepimpinan negeri kekal bersama parti.
Ketuanya, DATUK NOLEE ASHILIN MOHAMMED RADZI berkata, keadaan itu menjadi kekuatan untuk terus menyusun semula organisasi dan menghidupkan kembali semangat ahli.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau berkata pengalaman mengharungi pergolakan dalaman parti, pilihan raya serta cabaran dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi bekal untuk terus memperkukuh Bersatu.
Temu bual yang turut disertai jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON, Nolee Ashilin turut berkata, masih banyak yang perlu dilakukan, termasuk memperkasakan akar umbi, melahirkan lebih ramai pemimpin wanita serta mengetengahkan dasar yang dekat dengan kehidupan rakyat.
UTUSAN: Sejak dilantik sebagai Ketua Srikandi menggantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Mac lalu, bagaimana cabaran yang dihadapi dalam tempoh enam bulan ini, terutama ketika keadaan parti yang tidak menentu?
NOLEE: Memang sangat susah, terutama ketika parti berdepan masalah dalaman dan pada masa sama krisis bersama rakan-rakan dalam gabungan.
Sebagai pemangku yang mengambil alih daripada Mas Ermieyati, tanggungjawab itu bukan mudah. Namun, alhamdulillah, dengan pengalaman yang ada, kita berjaya melalui tempoh tersebut.
Ketika itu ada persepsi ramai anggota Srikandi akan meninggalkan parti selepas bekas ketua kami berundur. Saya sendiri pada awalnya menjangkakan begitu tetapi alhamdulillah, hakikatnya tidak.
Hanya enam daripada barisan exco yang meninggalkan parti, manakala 11 daripada 14 ketua Srikandi negeri masih kekal.
Ini menunjukkan Srikandi masih mempunyai kekuatan dan kesetiaan yang kukuh. Bagi saya, inilah keistimewaan wanita kerana kesetiaan itu sangat mahal nilainya.
Sokongan tersebut memberi semangat kepada saya untuk memastikan keadaan parti, khususnya di peringkat sayap, terus stabil.
Jika dilihat dalam konteks politik Malaysia, kesetiaan kepada parti dilihat semakin tidak kukuh. Dalam kemelut dalaman Bersatu ketika ini, sejauh mana keadaan itu menjejaskan struktur parti, khususnya Srikandi dan kesetiaan penyokongnya?
Pasti memberi kesan, lebih-lebih lagi apabila masalah itu bermula daripada konflik dalaman. Tetapi pada hemat saya, ramai ahli masih kekal setia.
Apa yang mereka mahukan ialah penjelasan daripada kepimpinan mengenai perjuangan, hala tuju parti dan isyarat yang perlu disampaikan kepada akar umbi.
Contohnya di Bukit Gantang, saya baru sahaja memegang jawatan Ketua Bahagian dan perlu menyusun semula kekuatan parti. Namun, selepas kemelut sekitar Februari atau Mac, kami kembali mengumpulkan ahli dan mengadakan pelbagai program. Ramai yang tampil bersama.
Dalam Program Korban Perdana di Bukit Gantang, lebih 700 sukarelawan serta ahli hadir. Bagi saya, ini menunjukkan masih ramai yang mahu bersama Bersatu dan percaya kepada perjuangannya.
Kemelut itu juga menjadi hikmah kerana kami dapat mengenal pasti siapa yang benar-benar setia. Selepas itu, kami berdepan pula pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Walaupun kalah, apabila cawangan dipanggil bermesyuarat, kehadiran masih memenuhi kuorum.
Ini petanda penting bahawa akar umbi masih bersama. Mereka perlu diberi penjelasan dan pada masa sama pandangan mereka didengar, termasuk mengenai isu kehidupan rakyat seperti kos sara hidup.
Sudah tentu pemimpin yang meninggalkan parti memberi kesan kepada semangat dan struktur organisasi. Tetapi bagi saya, yang paling penting ialah majoriti akar umbi masih bersama.
Selagi mereka percaya kepada perjuangan dan mahu terus bergerak, Bersatu masih mempunyai asas untuk bangkit.
Ramaikah yang berhijrah ke parti sebelah sana?
Bersatu sebenarnya masih meneruskan penambahan keahlian. Malahan, saya sendiri melihat keahlian terus bertambah. Untuk Srikandi pun tidak banyak yang berhijrah. Ini kerana seperti saya kata, wanita ini setia.
Dari segi kepimpinan tertinggi pun hanya enam daripada 24 exco yang pergi. Jadi, itu sudah menjadi petunjuk yang baik.
Ketika ini, jika ada yang meletakkan jawatan sekali pun, mereka tidak semestinya bersama parti lain. Ada yang mungkin menyertai parti lain tetapi ramai sebenarnya hanya hilang semangat.
Ada yang kembali?
Ada dalam kalangan mereka tidak tahu nama dalam senarai tetapi mereka akur disebabkan mengikut kawan atau ketua bahagian. Lepas itu ada yang datang semula dan memohon untuk kembali.
Kami terpaksa ikut proses. Bagi Bersatu, khususnya Srikandi, memang terbuka. Sekarang bukan masa untuk kita mencari musuh.
Kalau boleh, mana-mana yang mahu bersama Bersatu semula, marilah bersama. Perjuangan kita tidak pernah berubah dan masih kekal.
Kepada semua, terutama rakan-rakan yang pernah tersilap langkah, ini bukan masa untuk mencari musuh. Kita mahu menguatkan semula organisasi dan parti kita.
Bercakap soal setia, melihat rekod PRN Negeri Sembilan, semua calon kalah di 24 kerusi yang ditandingi. Jadi, adakah mesej kepada akar umbi masih belum jelas?
Saya agak setuju dengan perkara tersebut. Sebabnya, masa kita membuat keputusan untuk memperkenalkan logo bunga raya, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita apabila bertanding.
Di Negeri Sembilan, saya akui kerana keputusan itu dibuat dua hari sebelum penamaan calon selepas PN berdiam diri.
Pesanan kepada Setiausaha Agung PN pun tidak dijawab. Jadi, apabila secara sistematik dikeluarkan, kita juga mesti membuat keputusan sebagai sebuah parti yang mempunyai kerusi dan mempunyai maruah. Kita perlu bertanding.
Jadi, apabila kita membuat keputusan untuk menggunakan lambang bunga raya, semestinya ada banyak kesan, termasuk kesan negatif. Sebab orang tidak kenal bunga raya ini siapa.
Kami selama ini berkempen di bawah PN dan membawa panji-panji gabungan itu sejak 2020.
Bersatu juga begitu sinonim dengan PN. Apabila kami keluar dan memperkenalkan logo Bersatu, dalam fikiran pengundi, lambang itu tidak pernah ada. Malahan, apabila mereka melihat gambar atau bahan kempen, mereka kata, parti Bebas.
Ada juga pengundi yang saya jumpa kata, “Saya undi PN”. Dia ingat sudah mengundi Bersatu.
Jadi, mungkin mesej kami tidak jelas. Saya akui, kita memang gagal untuk memperkenalkan lambang bagi membawa perjuangan Bersatu.
Adakah kekalahan di PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan pemimpin Bersatu sudah hilang taring?
Kita telah buat bedah siasat berkaitan perkara tersebut. Jika kata kekalahan ini adalah penolakan kepada Bersatu, saya rasa tidak.
Cuma rakyat lebih menyokong jajaran yang memberikan manfaat kepada mereka. Trend ini semakin jelas sejak 2018, apabila sentimen pengundi berubah mengikut kehendak, keperluan dan gelombang semasa.
Pengundi sekarang lebih memikirkan kepentingan mereka berbanding kesetiaan kepada parti. Mereka tengok siapa yang boleh memberi manfaat dan menyelesaikan masalah. Jadi, apabila kita bukan di pihak kerajaan, itu perkara yang perlu kita usahakan.
Kita perlu audit semula, akui kelemahan dan bina semula Bersatu dari akar umbi, termasuk memperkukuh identiti parti.
Hala tuju kita sebenarnya PN tetapi apabila seperti tersisih, kita perlu bina semula keyakinan rakyat dan meyakinkan mereka untuk mengundi kita kembali.
Kekalahan ini ada baiknya kerana Bersatu masih parti ‘muda’. Dalam tempoh 10 tahun, kita pernah menjadi kerajaan dan kini mempunyai kira-kira 700,000 ahli, meningkat daripada 400,000 pada 2020.
Jadi, sebagai parti ‘muda’, banyak perkara yang kita perlu pelajari dan lakukan semula.
Perkara paling rumit dalam mengekalkan sokongan wanita kepada parti?
Kami sedang mengaudit keberadaan ahli. Di atas kertas, kita ada kira-kira 700,000 ahli tetapi sekarang kita perlu melihat kekuatan sebenar, termasuk keaktifan ahli serta pemimpin yang mampu memimpin di peringkat bahagian dan cawangan.
Akar umbi inilah aset kita.
Ia bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan cabaran dalam PN. Jadi, kita perlu memperkukuh organisasi secara bersasar.
Bagi Srikandi, kita mempunyai banyak tanggungjawab. Untuk melahirkan pemimpin baharu, kita perlu menyediakan ekosistem yang membantu mereka menjalankan tugas.
Kadang-kadang tanggungjawab keluarga menyebabkan mereka berasa tidak mampu meneruskan tugas. Bukan kerana tidak sayangkan parti tetapi kerana merasakan tidak dapat memenuhi tanggungjawab.
Jadi, tugas kami di peringkat pusat ialah menyediakan sokongan, khususnya di kawasan yang mempunyai keahlian mencukupi untuk kembali kuat.
Kita juga perlu bergerak dengan cara berbeza. Program pemerkasaan wanita, keusahawanan dan kepimpinan akan diteruskan tetapi fokus perlu beralih daripada program kepada dasar.
Sebanyak mana program pun, tanpa perubahan dasar, kesannya tetap terhad. Contohnya, sasaran 30 peratus wanita dalam kepimpinan. Sejak saya menjadi wakil rakyat pada 2008, sasaran itu masih belum tercapai.
Perwakilan wanita di Parlimen paling tinggi pun sekitar 14 peratus.
Jadi, kita perlu melihat tindakan yang lebih agresif, termasuk tindakan afirmatif. Kalau hanya mengharapkan dasar dan amalan baik, perubahan akan terlalu perlahan.
Silap-silap saya sudah bersara, cucu saya masuk politik pun sasaran 30 peratus masih belum tercapai.
Adakah bayang-bayang Mas Ermieyati masih lagi menghantui Bersatu walaupun Datuk kini ‘mengemudi’ Srikandi?
Dalam tempoh tidak sampai enam bulan, nak ke depankan diri dan hilangkan bayang-bayang Mas Ermieyati bukan mudah.
Sebelum ini, saya memainkan peranan sebagai nombor dua. Boleh katakan saya memang sangat baik sebagai orang nombor dua kerana jenis yang kuat bekerja. Saya buat kerja, manakala jurucakap ialah ketua saya. Kita ini jenis wanita yang taat.
Selama ini jurucakap kita ialah Mas Ermieyati dan saya akui beliau melakukan tugas dengan sangat baik.
Perkara ini tidak perlu dijadikan persaingan. Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah selepas selesai kerja-kerja parti, kita mahu memperkukuh Srikandi. Sebelum ini pun kita tidak sempat kerana sibuk dengan pilihan raya.
Kita mahu membezakan Srikandi sebagai wadah kepimpinan wanita dalam PN. Ini yang sedang kita lakukan dengan bantuan rakan-rakan.
Bagaimana untuk kembalikan semula keyakinan pengundi kepada Bersatu?
Kita perlu ambil langkah ke belakang dan buat audit semula untuk melihat bagaimana mahu bergerak ke hadapan. Kalau dibuat secara tergesa-gesa, mungkin memberi penyelesaian jangka pendek.
Kita juga perlu kembali sebagai juara untuk rakyat dengan mengetengahkan dasar yang boleh menyelesaikan isu rakyat, khususnya wanita.
Dalam permukiman baru-baru ini, antara perkara yang dipersetujui ialah mengiktiraf peranan wanita sebagai pembina keluarga. Wanita bukan sahaja membesarkan anak tetapi turut menjaga ibu bapa yang uzur dan mengurus keluarga.
Contohnya, kita cadangkan Kredit Ibu Malaysia. Ketika ini pelepasan cukai RM2,000 bagi setiap anak tetapi kesannya agak kecil. Kita mahu ia ditukar kepada rebat cukai yang memberi manfaat secara langsung.
Bagi ibu B40 yang tidak membayar cukai, mungkin boleh diberikan kredit atau baucar subsidi untuk menampung kos pengangkutan dan penjagaan anak.
Kita juga perlu melihat insentif kepada usahawan wanita serta dasar kerja fleksibel. Kos membesarkan anak semakin tinggi dan ada ibu yang akhirnya terpaksa memilih untuk berhenti kerja kerana kos penjagaan serta keperluan anak.
Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Wanita tidak boleh dipaksa berhenti kerja hanya kerana mahu mengurangkan kos membina keluarga.
Sebab itu, kita bukan sekadar mahu bercakap tentang isu wanita tetapi memastikan dasar yang dibuat benar-benar memberi kesan kepada kehidupan mereka.
MAHU HAK BERSATU DALAM PN DIHORMATI
Datuk, dalam Majlis Tertinggi PN, memang tiada komunikasi dengan ahli majlis daripada parti lain? Mengapa Bersatu seolah-olah diketepikan? Tiba-tiba ada kenyataan Setiausaha Agung PN yang mengatakan Bersatu tidak boleh menghadiri mesyuarat pembahagian kerusi. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?
Komunikasi terakhir saya dengan Setiausaha Agung ialah berkenaan mesyuarat jawatankuasa yang tidak dipanggil, sedangkan masa semakin suntuk. Jawapan beliau ringkas, “Saya akan maklumkan.” Selepas saya tanya semula, tiada jawapan.
Selepas itu, kami mengambil pendekatan supaya jurucakap kami yang berhubung. Datuk Dr. Radzi Jidin yang ketika itu turut menjadi ahli jawatankuasa, berhubung dengan Setiausaha Agung atau Pengerusi PN.
Tetapi sejauh mana komunikasi itu berlaku, saya tidak boleh ulas kerana di luar pengetahuan saya.
Apabila melihat kenyataan Datuk Seri Takiyuddin, beliau menyentuh mengenai isu kuorum yang tidak mencukupi. Komen?
Mengikut perlembagaan, kami sebenarnya cukup kuorum kerana ahli yang dipecat atau meninggal dunia tidak dikira. Kita hanya bercakap soal kuorum mesyuarat, bukan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terbubar.
Pada saya, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Setiausaha Agung PN kerana perkara tersebut sudah dijelaskan. Malah, ia akhirnya dijadikan alasan untuk menangguhkan mesyuarat pembahagian kerusi.
Kami bermesyuarat dan bersetuju untuk mendapatkan pandangan kepimpinan sebelum meneruskan perbincangan. Tetapi keesokan harinya, mesyuarat ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Selepas itu, kami ditinggalkan daripada proses pembahagian kerusi.
Adakah ini satu tamparan kepada Bersatu?
Sudah semestinya. Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pengasas PN bersama Pas dan Bersatu turut terlibat dalam pembentukan perlembagaan serta asas perjuangan PN. Jadi, kami tidak pernah meninggalkan PN.
Malah, Takiyuddin mengakui Bersatu masih ahli PN. Sepatutnya kita dipanggil untuk berbincang.
Oleh sebab proses dalaman tidak dapat diselesaikan, kami terpaksa menggunakan saluran rasmi dengan membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Adakah ada pihak yang mempengaruhi keputusan PN?
Mungkin ada pengaruh tertentu. Tetapi yang penting, dalam gabungan, proses mesti dihormati dan keputusan dibuat bersama.
Bersatu sebagai antara pengasas penyatuan itu pula diketepikan. Sudah tentu perkara ini mengecewakan. – UTUSAN










