Erti sambutan Bulan Kebangsaan

BULAN Kebangsaan adalah acara kenegaraan paling utama untuk semua pihak bersatu, dalam sama-sama memperlihat dan memperkukuh nasionalisme dan patriotisme mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH sekian lama sambutan terhadap Bulan Kebangsaan, untuk meraikan Hari Kemerdekaan yang juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, adalah bukan sahaja sangat hambar, juga dingin sekali.

Ini khususnya dapat diperhati pada peringkat rakyat yang tidak lagi bersemangat menyambutnya, justeru sambutan itu tidak dapat dirasai seadanya.

Sebenarnya perkara begini sudah lama wujud. Malah sudah berpuluh tahun setelah pertengahan tahun 1990-an yang memperlihat rakyat begitu teruja menyambutnya.

Antaranya dari segi semua premis perniagaan mengibar bendera, selain ramai rakyat yang ikut melakukan perkara sama, sama di kediaman dan pada kereta mereka.

Sesungguhnya melalui perbuatan mengibar bendera dalam agregat besar, yakni rata-ratanya dilakukan oleh semua pihak, ia bukan sahaja dapat menimbulkan suasana perayaan yang meriah.

Ia juga dapat secara tabii membangkitkan semangat kebangsaan dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Sehubungan sambutannya yang hambar lagi dingin, sesuatu hendaklah dilakukan, antaranya kajian untuk mengenal pasti sebab mengapa ia sedemikian rupa.

Ia hendaklah dilakukan segera kerana sambutan yang sebegini sudah lama berlarutan. Justeru, ia tidak boleh terus dibiarkan dalam keadaan negatif ini.

Secara sepintas lalu dan juga umum sifatnya, keadaan negatif ini antaranya didapati disebabkan oleh kurang, malah tiadanya perasaan ceria untuk menyambutnya semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan kata lain, sama ada dari segi pemikiran mahupun perbuatan, rakyat didapati tidak teruja, apatah lagi ghairah, untuk menyambutnya.

Antara sebab yang diberikan secara spontan ialah tekanan hidup yang sedang dihadapi sebahagian besar rakyat.

Dengan adanya tekanan ini, emosi rakyat, baik secara fizikal mahupun mental, amat terkesan dengan masalah, cabaran dan bebanan daripadanya.

Emosi itu didapati wujud akibat kewangan, iaitu kos sara hidup yang tinggi, selain kerja, yakni pendapatan yang tidak mencukupi.

Walaupun kerajaan mengumumkan negara mengecapi pertumbuhan ekonomi yang baik, jurang antara angka ekonomi makro pada peringkat negara, adalah bukan sahaja besar, juga tidak dapat direalisasikan oleh rakyat.

Ini kerana pada peringkat rakyat jelata, khususnya secara ekonomi mikro, mereka terus tertekan dengan kos sara hidup tinggi yang perlu ditanggung oleh pendapatan yang rendah.

Sewajarnya semangat kebangsaan dan cintakan tanah air tidak boleh sesekali diabaikan dalam apa-apa jua keadaan.

Namun sebagai manusia yang sarat dengan segala kelemahan, rakyat didapati sangat kekurangan dalam hal mengimbangi desakan hidup yang sebenar dengan tuntutan kenegaraan yang unggul.

Seperkara lain yang perlu diambil perhatian serius dalam hal sambutan ini ialah tema untuk Bulan Kebangsaan.

Secara unggulnya, ia hendaklah bersifat neutral, yakni tidak sesekali kelihatan dan sememangnya tidak pun menyebelahi mana-mana pihak, lagi-lagi yang berunsur politik.

Dengan kata lain, tema, sama ada yang utama atau yang kecil, hendaklah yang tidak akan sama sekali menimbulkan sebarang kontroversi dari apa-apa jua sisi.

Ini kerana Bulan Kebangsaan adalah acara kenegaraan paling utama untuk semua pihak bersatu, dalam sama-sama memperlihat dan memperkukuh nasionalisme dan patriotisme mereka.

Sehubungan ini, kita hendaklah berhenti seketika daripada berpolitik dan hal yang seumpamanya untuk tempoh sebulan ini.

Sebetulnya dalam Bulan Kebangsaan, kita hendaklah sama-sama merenungi keadaan negara, bagi sama-sama mencari jalan terbaik secara nasionalistik dan patritotik untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang.

Akan tetapi, kita terus-terusan berbalah pada setiap kali menjelangnya Bulan Kebangsaan. Ini kerana ia disebabkan oleh temanya.

Sehubungan ini, sudah menjadi kecenderungan untuk menggunakan tema yang ada kaitan, khususnya yang ada kaitan dengan kerajaan semasa oleh mana-mana pentadbiran pun.

Dalam hal ini, boleh dikatakan kesemua kerajaan yang memerintah, menggunakan tema pentadbiran masing-masing untuk tema Bulan Kebangsaan sewaktu pemerintahan mereka.

Untuk ini, ada yang menggunakan keseluruhannya tanpa adanya perasaan segan silu, apatah lagi rasa yang bersalah. Dalam hal ini, ada yang mempertahan tindakan sedemikian, kekadang dengan alasan remeh dan tidak bijak pula.

Natijahnya di sini ialah tema sedemikian menyebabkan adanya tindak balas yang melawan sifatnya. Ini dapat dilihat apabila ada sesetengah negeri yang langsung tidak mahu menggunakan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Dengan ini, terdapat penggunaan tema alternatif di beberapa negeri. Seperkara penting di sini ialah setelah menolak tema yang didorong politik sempit oleh kerajaan pusat, kesemua negeri ini bijak memilih tema yang memang neutral sifatnya sebagai gantinya.

Sudah tentu penggunaan tema alternatif ini bukan sahaja tidak baik dari segi kenegaraan, baik di dalam Malaysia sendiri atau di luar Malaysia.

Juga ia memberi mesej tertentu, yakni kita berpolitik pada setiap masa, termasuklah pada waktu kita sepatutnya bersatu demi negara tercinta,

Ini pasti memberi kesan buruk kepada imej negara bahawa kita tidak dapat membezakan kesempatan politik dengan urusan negara.

Natijahnya di sini ialah kita hendaklah kelihatan sebagai satu kesatuan utuh dalam Bulan Kebangsaan dan tidak sesekali yang sebaliknya.

Dalam hal ini, kita hendaklah matang untuk sama sekali tidak mempolitik Bulan Kebangsaan dalam apa-apa jua cara, walaupun secara tersirat yang boleh dikesani akhirnya.

Apatah lagi secara tersurat yang terang-terangan mencabul kemuliaan Bulan Kebangsaan dengan bibit politik yang tidak sepatutnya.

Perkara lain yang ikut menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan kita hambar dan dingin ialah tanggal 31 Ogos yang langsung tidak dapat dihubungkan dengan wilayah lain yang sama-sama menubuhkan Persekutuan Malaysia, khususnya Sarawak.

Ini kerana Sarawak memperoleh kemerdekaan pada 22 Julai 1963, untuk kemudiannya menubuhkan negara ini bersama-sama yang lain.

Sehubungan 31 Ogos, ia adalah juga tarikh Sabah mendapat kemerdekaannya. Dengan ini, tarikh ini hendaklah dijadikan sambutan kemerdekaan wilayah.

Untuk Sarawak, ia hendaklah berjiwa besar untuk menyambutnya sekali lagi secara lewat, demi solidariti Persekutuan Malaysia, bersama-sama dengan dua wilayah lain itu.

Dengan ini, naratif kebangsaan untuk 31 Ogos ialah hanya narasi mikro masing-masing wilayah dalam memperoleh kemerdekaan.

Ia tidak boleh lagi bersifat naratif makro untuk seluruh negara dengan hanya narasi Persektuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan.

Untuk 31 Ogos, ada keperluan, malah yang mendesak, untuk tidak lagi mengangkat naratif mikro Persekutuan Tanah Melayu untuk mewakili seluruh negara.

Ini yang berlaku untuk sekian lama hendaklah segera diberhentikan agar tidak ada lagi ulasan bahawa itu adalah narasi Malaya yang tiada kaitan pun dengan wilayah lain di Malaysia.

Untuk 31 Ogos, naratif dan narasinya hendak yang mikro di wilayah masing-masing sahaja. Untuk yang makro bagi kesemua wilayah, ia hendaklah bersifat yang umum tentang erti kemerdekaan, selain yang boleh mengikatkan tiga wilayah untuk bergerak sederap dalam mengisi kemerdekaan masing-masing secara spesifik, selain bagi negara ini secara umumnya.

Di samping semua persoalan ini, sambutan 16 September juga menghadapi kesulitan. Ini kerana ia kurang, malah tidak pun disambut di Persekutuan Tanah Melayu, walaupun dengan seadanya sahaja. Ini antaranya adalah kerana ia merupakan antiklimaks, iaitu pengakhiran Bulan Kebangsaan yang tiada keghairahan setelah sakan meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Sebaliknya sambutan 16 September di Sabah dan Sarawak adalah meriah sekali.

Ia klimaks Bulan Kebangsaan kerana dua wilayah itu tiada tradisi meraikan 31 Ogos yang rata-ratanya dihubungkan dengan kemerdekaan Tanah Melayu semata-mata, melalui naratif yang sebegitu selama ini.

Bagi bergerak maju dalam konteks Bulan Kebangsaan untuk menyambut kedua-dua 31 Ogos dan 16 September, beberapa langkah bukan sahaja perlu diambil segera, malah dasar tertentu harus digubal agar rasa hambar dan dingin itu bertukar kepada semangat berkobar-kobar dan perasaan penuh sukma dalam kita menyambut Bulan Kebangsaan.

Tidak dapat dinafikan dua perayaan nasional dalam tempoh hanya dua minggu adalah bebanan besar, baik fizikal mahupun mental kepada negara.

Oleh itu, barangkali sudah sampai masanya, kita memilih satu sahaja untuk disambut secara besar-besaran di seluruh negara, dengan penuh kebanggaan, kesayangan dan kesetiaan oleh semua rakyat.

Dalam hal ini, ia adalah 16 September yang bukan sahaja lebih bermakna, juga yang bersifat nasional untuk semua wilayah.

Dalam pada ini, kemerdekaan masing-masing wilayah diteruskan pada peringkat wilayah sahaja dan bukannya lagi sebagai sambutan nasional untuk diraikan di dan dihayati oleh semua wilayah. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN