Elak jadi mangsa penipuan

PERBUATAN scam bukan sahaja merugikan mangsa dari sudut kewangan, malah boleh menyebabkan tekanan, hilang kepercayaan dan menjejaskan kehidupan keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGURUSAN kewangan yang tidak terancang boleh menyebabkan seseorang menghadapi masalah kewangan, malah membuka ruang untuk menjadi mangsa penipuan atau scam. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan kewangan yang baik, berbelanja secara berhemah dan sentiasa berhati-hati sebelum membuat sebarang urusan berkaitan wang.

Pengurusan kewangan yang baik bermula dengan membezakan antara keperluan dan kehendak, menyediakan bajet bulanan serta memastikan sebahagian pendapatan disimpan untuk kegunaan kecemasan.

Masyarakat juga perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam berbelanja. Prinsip kesederhanaan ini amat penting dalam pengurusan kewangan. Seseorang yang mempunyai perancangan kewangan yang kukuh tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam masa singkat. Sebaliknya, mereka akan membuat semakan dan pertimbangan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang atau maklumat peribadi kepada pihak lain.

Dalam menghadapi ancaman scam, masyarakat juga perlu mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayainya.

Prinsip ini sangat sesuai diamalkan dalam era digital di zaman moden ini. Penipu sering menggunakan panggilan telefon, mesej, media sosial, pautan palsu dan tawaran pelaburan untuk memperdaya mangsa. Oleh itu, jangan mudah mempercayai mesej yang mendesak kita membuat bayaran segera, memberikan nombor akaun, kata laluan atau kod pengesahan. Sebarang maklumat kewangan hendaklah disemak melalui saluran rasmi terlebih dahulu.

Dalam konteks masyarakat hari ini, perbuatan scam bukan sahaja merugikan mangsa dari sudut kewangan, malah boleh menyebabkan tekanan, hilang kepercayaan dan menjejaskan kehidupan keluarga.

Rasulullah SAW turut mengajar umatnya supaya tidak mengambil harta orang lain dengan cara yang batil. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta sesama kamu dengan jalan yang batil.

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa mengambil harta orang dengan cara yang salah adalah dilarang keras oleh Allah SWT.

Oleh itu, masyarakat bukan sahaja perlu melindungi diri daripada menjadi mangsa scam tetapi juga perlu memastikan sumber pendapatan dan cara memperoleh keuntungan adalah halal serta tidak menzalimi orang lain. Tawaran keuntungan yang terlalu lumayan, skim yang tidak jelas dan permintaan bayaran pendahuluan seharusnya menimbulkan tanda tanya.

Antara langkah yang boleh diamalkan ialah menyediakan bajet bulanan, dapatkan mentor kewangan atau penasihat kewangan yang bertauliah, mengutamakan keperluan, membina dana kecemasan, mengelakkan hutang yang tidak perlu dan menyemak kesahihan sesuatu pelaburan sebelum membuat keputusan. Masyarakat juga perlu meningkatkan ilmu literasi kewangan supaya dapat memahami risiko, kontrak, pulangan pelaburan dan kaedah transaksi dengan lebih baik.

Pengurusan kewangan yang bijak bukan sekadar bertujuan memastikan wang mencukupi untuk keperluan harian, tetapi juga merupakan sebahagian daripada amanah dalam kehidupan. Islam mengajar umatnya supaya tidak membazir, bersederhana dalam berbelanja, menyemak sesuatu berita serta menjauhi penipuan dan pengambilan harta secara batil. Dengan ilmu, perancangan dan sikap berhati-hati, masyarakat dapat mengurus kewangan dengan lebih baik serta mengurangkan risiko menjadi mangsa scam. Berfikirlah sebelum bertindak, semak sebelum percaya dan rancang sebelum berbelanja. –UTUSAN

 

MEJAR PROF. MADYA DR. MOHD ADIB ABD. MUIN

Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Pegawai Sukarela PALAPES, 

Universiti Utara Malaysia (UUM) 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN