KEJAYAAN menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam tempoh ditetapkan atau Tamat Pengajian Mengikut Tempoh (GOT) tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak terhadap tahap kematangan intelektual seseorang sarjana.
Sebaliknya, kematangan intelektual lebih terserlah melalui kedalaman penguasaan ilmu, keupayaan mengendalikan wacana akademik, kebijaksanaan berhujah, keluasan perspektif serta kejujuran dalam menjalankan penyelidikan.
Pandangan itu dikemukakan Profesor di Universiti Al-Quran Sultan Abdullah (UNIQSAAS), yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh, menerusi satu hantaran di Facebook yang mengupas makna sebenar kematangan intelektual dalam dunia akademik.
Menurut beliau, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh singkat sememangnya memperlihatkan disiplin, fokus dan komitmen yang tinggi. Namun, pencapaian tersebut belum tentu menggambarkan keupayaan menguasai sesuatu bidang secara mendalam atau mempertahankan hasil kajian dengan kukuh ketika sesi pertahanan tesis.
Katanya, pengajian doktor falsafah merupakan proses panjang yang membentuk ketahanan intelektual, kematangan berfikir dan kewibawaan ilmu, bukannya perlumbaan untuk mencapai garisan penamat secepat mungkin.
Beliau berkata, terdapat pelajar yang mengambil masa lebih panjang untuk menyiapkan tesis, namun mampu memperlihatkan kematangan intelektual melalui keupayaan menjelaskan rasional kajian, membina hujah akademik, membandingkan pandangan sarjana serta menghubungkan hasil penyelidikan dengan isu semasa.
Menurutnya, keupayaan mengurus wacana ilmu secara kritis, tersusun dan berasaskan bukti lebih penting dalam menentukan tahap kematangan seseorang berbanding tempoh yang diambil untuk menamatkan pengajian.
Mengulas ukuran kecemerlangan akademik, beliau berkata penerbitan artikel dalam jurnal berindeks, kejayaan dalam pertandingan inovasi penyelidikan dan pencapaian tamat pengajian mengikut tempoh merupakan pengiktirafan yang penting.
Bagaimanapun, pencapaian berkenaan lebih menggambarkan ukuran luaran, sedangkan kematangan intelektual lahir daripada keluasan ilmu, kewibawaan berhujah, kejujuran akademik dan integriti penyelidikan.
Beliau turut berkongsi pengalaman seorang profesor yang menilai calon PhD dengan beberapa penerbitan dalam jurnal berprestij, namun mendapati tesis berkenaan mempunyai kelemahan dari segi kaedah penyelidikan sehingga menjejaskan kesahan dapatan.
Situasi itu membuktikan penerbitan berkualiti tidak semestinya mencerminkan kekuatan keseluruhan sesebuah penyelidikan. Pemeriksa bukan sahaja menilai hasil penerbitan, malah meneliti tesis secara menyeluruh termasuk kaedah kajian, pembinaan hujah serta penguasaan calon terhadap bidang yang dikaji.
Dalam konteks kenaikan pangkat akademik pula, jumlah penerbitan, geran penyelidikan, pencapaian pentadbiran dan pelbagai bentuk pengiktirafan sememangnya penting sebagai sebahagian daripada pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun begitu, ukuran tersebut belum mencukupi untuk menggambarkan kematangan seseorang ahli akademik sekiranya tidak disertai penguasaan ilmu yang kukuh, pemikiran kritis serta keupayaan menyumbang kepada perkembangan wacana keilmuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan akademik dan penyelidik supaya terus memperkukuh penguasaan bidang, memperhalusi pemikiran serta memelihara integriti penyelidikan walaupun telah mencapai tahap pendidikan atau kerjaya yang tinggi.
Katanya, kematangan intelektual merupakan proses berterusan yang perlu diterjemahkan melalui penulisan, penyelidikan, pengajaran dan perbahasan ilmiah.
Pandangan tersebut membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai cara kecemerlangan akademik dinilai. Dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin memberikan penekanan kepada produktiviti, petunjuk prestasi dan pencapaian kuantitatif, keseimbangan antara ukuran luaran dengan kematangan intelektual perlu diberi perhatian.
Matlamat akhirnya bukan sekadar melahirkan graduan yang pantas menamatkan pengajian atau ahli akademik dengan rekod pencapaian yang panjang tetapi membentuk sarjana yang benar-benar menguasai ilmu, matang dalam pemikiran, kukuh dalam hujah dan berwibawa dalam memimpin perkembangan keilmuan. –UTUSAN
DR. MHD. FAIZAL MHD. RAMLI
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










