DALAM era media sosial, penjagaan kulit semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Kesedaran terhadap kebersihan, kesihatan kulit dan pemilihan kosmetik turut meningkat dalam kalangan pelbagai kelompok usia, termasuk lelaki.
Perkembangan ini pada asasnya positif kerana mendorong masyarakat mengambil berat tentang penjagaan diri.
Namun, kecenderungan tersebut boleh berubah menjadi keterlaluan apabila muncul fenomena cosmeticorexia, iaitu keinginan berlebihan terhadap produk serta rutin kecantikan sehingga melampaui keperluan sebenar.
Pengaruh media sosial dan pencipta kandungan turut mendorong kanak-kanak serta remaja mengikuti rutin kompleks yang tidak semestinya sesuai dengan usia mereka.
Penggunaan pelbagai produk pada peringkat terlalu muda boleh menimbulkan masalah kulit seperti kemerahan, pedih, kekeringan dan keradangan. Pada masa sama, gambaran kecantikan sempurna di media sosial boleh mencetuskan perbandingan sosial, menjejaskan keyakinan diri serta memberi tekanan emosi kepada golongan muda.
Keadaan ini menunjukkan pentingnya literasi kesihatan dalam kalangan pengguna. Masyarakat perlu memahami kandungan kosmetik, mengenal pasti keperluan sebenar kulit dan tidak mudah terpengaruh dengan trend digital.
Produk tidak berdaftar, bahan terlarang serta tuntutan pemasaran yang mengelirukan juga perlu diberi perhatian demi melindungi pengguna.
Perkembangan rawatan estetik seperti laser, suntikan dan microneedling pula menjadikan prosedur kecantikan semakin mudah dicapai. Walaupun rawatan tertentu selamat apabila dilakukan oleh pengamal bertauliah, namun prosedur tanpa pengawasan profesional boleh membawa risiko kesihatan dan kerugian kewangan.
Dalam Islam, menjaga kebersihan dan penampilan bukan sesuatu yang ditegah. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” Namun, keindahan perlu diiringi prinsip wasatiyyah, iaitu kesederhanaan. Berhias tidak seharusnya membawa kepada pembaziran, kemudaratan, penipuan atau perubahan melampau terhadap fitrah.
Surah al-A‘raf, ayat 31 turut mengingatkan manusia supaya berhias dengan baik, namun tidak berlebih-lebihan. Prinsip ini amat relevan dalam menghadapi budaya kecantikan digital yang semakin kuat.
Justeru, penjagaan diri perlu berpandukan keperluan, kesihatan dan kesejahteraan, bukannya tekanan untuk memenuhi standard kecantikan yang tidak realistik.
Kecantikan yang sebenar bukan sekadar pada penampilan tetapi turut mencerminkan kebijaksanaan seseorang mengurus keinginan secara sederhana dan bertanggungjawab. –UTUSAN
DR. FATIN NUR MAJDINA NORDIN
Pensyarah Kanan,
Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya










