Kebebasan akademik bukan ancaman

KERAJAAN perlu memberi satu jaminan kepada semua pihak bahawa kebebasan akademik dalam negara kita dapat dijamin serta akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBEBASAN akademik tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman ataupun musuh oleh mana-mana pihak. Kebebasan akademik perlu dihargai, dihormati dan dipertahankan pada setiap masa.

Tidak beberapa lama dulu, terdapat juga usaha yang ingin diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mewujudkan garis panduan untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan oleh ahli akademik dalam memberi pendapat mereka kepada dunia luar.

Namun, langkah ini dilihat tidak sesuai kerana ia dibimbangi boleh terdedah kepada penyalahgunaan oleh pihak pentadbir dan pengurusan universiti kelak.

Daripada sibuk merangka undang-undang, peraturan dan garis panduan untuk kawal selia kebebasan akademik, adalah baik sekiranya kita merangka polisi dan undang-undang yang dapat melindungi dan menjamin kebebasan akademik secara khusus dalam negara kita.

Ini adalah penting supaya semua warga kampus dalam negara ini dapat memberi pendapat dan bersuara tanpa perlu ada rasa risau dan takut sepanjang masa dalam memberi pendapat mereka.

Usaha menambahbaik kebebasan akademik ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan.

Pihak kerajaan harus tampil turun ke padang serta mendengar luahan perasaan para pelajar serta ahli akademik mengenai perkara ini, menilai setiap luahan yang telah diberikan oleh pelajar dan ahli akademik kepada mereka serta mengambil segala langkah yang perlu untuk melakukan proses penambahbaikan terhadap mana-mana perkara yang difikirkan perlu.

Usaha untuk mewujudkan kebebasan akademik ini tidak harus hanya tertumpu pada kebebasan para pelajar untuk bersuara sahaja.

Usaha juga harus diambil bagi memastikan setiap warga kampus terutamanya kakitangan akademiknya turut berani untuk bersuara mempertahankan segala hak mereka serta meluahkan pandangan atau pendapat masing-masing tanpa rasa risau dan takut akan dikenakan dengan sebarang tindakan disiplin ataupun hukuman.

Adalah penting supaya pimpinan kerajaan memberi satu jaminan kepada semua pihak bahawa kebebasan akademik dalam negara kita dapat dijamin serta akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Segala perbezaaan pandangan atau pendapat yang wujud perlu dilakukan melalui proses perbincangan dan debat secara ilmiah dan bukannya diselesaikan melalui proses tangkapan, pendakwaan serta hukuman. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN