SETIAP kali bulan Ogos tiba, lagu kemerdekaan kembali berkumandang di seluruh negara. Lagu seperti Bahtera Merdeka, Tanggal 31, Jalur Gemilang, Warisan dan Saya Anak Malaysia antara lagu yang begitu dekat dengan suasana sambutan kemerdekaan.
Ada lagu yang sudah begitu sebati dengan ingatan sehingga beberapa baris lirik sahaja sudah cukup untuk membawa kembali kenangan tentang sambutan, perhimpunan dan kibaran Jalur Gemilang. Namun, lagu kemerdekaan tidak sepatutnya hanya hidup ketika dinyanyikan. Nilai yang terkandung dalam lirik sepatutnya terus diingati dan diamalkan dalam kehidupan.
Lagu kemerdekaan membawa cerita tentang kemerdekaan, perjuangan, perpaduan, kecintaan kepada negara dan harapan untuk masa hadapan. Menghayati kemerdekaan tidak semestinya perlu dilakukan dalam bentuk yang besar dan luar biasa. Ia boleh bermula dengan perkara sederhana seperti menghormati perbezaan, menjaga kemudahan awam, menghargai keamanan, mematuhi peraturan dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Sambutan kemerdekaan juga tidak seharusnya berhenti pada pentas, hiasan dan persembahan setiap kali bulan kemerdekaan, sebaliknya menjadi peringatan tentang nilai yang perlu diteruskan sepanjang tahun.
Lagu boleh menyebut tentang perpaduan tetapi perlu dirasai dalam hubungan sesama manusia. Lagu boleh menyebut tentang kemerdekaan tetapi perlu dihargai dengan menjaga keamanan dan keharmonian. Lagu boleh menyebut tentang masa hadapan tetapi dibentuk melalui tanggungjawab yang dilakukan hari ini.
Justeru, penghayatan terhadap lagu kemerdekaan tidak seharusnya terhenti apabila muzik berhenti berkumandang. Sebaliknya, nilai yang terkandung di dalamnya perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Lagu kemerdekaan mampu menyatukan suara yang berbeza dalam satu semangat. Namun, semangat yang tercetus melalui nyanyian itu seharusnya terus hidup dalam cara masyarakat berinteraksi, menghargai keamanan, menghormati perbezaan dan melaksanakan tanggungjawab.
Lagu kemerdekaan mungkin hanya mengambil masa beberapa minit untuk dinyanyikan, tetapi makna dan nilai yang dibawanya boleh kekal jauh lebih lama. Semangat merdeka sepatutnya terus hidup melalui tindakan. Selepas lagu berakhir, di situlah erti merdeka sebenarnya bermula. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NORLAILA ABDULLAH CHIK
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Kerajaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










