PELAKSANAAN Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) dalam perkhidmatan awam mulai 1 Ogos lalu menandakan satu lagi langkah ke arah pembaharuan sektor kerajaan. Pendekatan ini bukan sekadar menawarkan ruang kerja lebih fleksibel, malah mengubah tumpuan daripada kehadiran fizikal kepada hasil, prestasi dan akauntabiliti.
Dalam era digital, persoalan utama bukan lagi di mana seseorang melaksanakan tugas tetapi sejauh mana tanggungjawab dapat diselesaikan dengan berkesan.
Mesyuarat boleh berlangsung secara maya, dokumen dikongsi dalam talian dan urusan kerja diselaraskan secara masa nyata tanpa memerlukan semua pegawai berada di lokasi sama. Justeru, sistem sebegini semakin diterima sebagai sebahagian daripada evolusi dunia pekerjaan.
Bagaimanapun, keberkesanan HBH tidak wajar diukur berdasarkan tahap fleksibiliti semata-mata. Ukuran sebenar terletak pada kemampuan kerajaan mengekalkan mutu penyampaian kepada rakyat tanpa mengorbankan kecekapan, integriti serta produktiviti.
Bekerja dari rumah juga tidak bermaksud memperoleh kelonggaran terhadap amanah. Fleksibiliti yang diberikan perlu disertai disiplin, pengurusan masa dan komunikasi berkesan. Kepercayaan organisasi mesti dibalas melalui pencapaian yang boleh diukur, bukannya sekadar memenuhi waktu bekerja.
Pelaksanaan HBH turut mempunyai syarat serta mekanisme tertentu. Penggiliran tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah atau lokasi alternatif bertujuan mengimbangi keperluan operasi dengan kebajikan pegawai.
Pada masa sama, sektor seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, penguatkuasaan, kehakiman dan perkhidmatan kaunter kekal memerlukan kehadiran fizikal berdasarkan sifat tugas.
Ketua jabatan memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan, menyusun jadual serta memastikan kepentingan organisasi terus terpelihara. Kebenaran bekerja secara hibrid juga boleh ditarik balik sekiranya syarat dilanggar atau keadaan operasi memerlukannya.
Kesesuaian kaedah ini bergantung pada jenis tugasan, disiplin individu dan keperluan agensi. Kerja pentadbiran, analisis data, penyediaan laporan serta penyelidikan lebih mudah dilaksanakan secara digital, manakala tugas lapangan dan urusan bersemuka tetap memerlukan kehadiran fizikal.
Dari sudut pemantauan, tumpuan wajar diberikan kepada hasil dan petunjuk prestasi, bukan kawalan berlebihan. Penggunaan teknologi serta penilaian berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat membantu memastikan akauntabiliti kekal terpelihara.
HBH turut menawarkan manfaat kepada kesejahteraan penjawat awam melalui pengurangan masa perjalanan serta perbelanjaan petrol, tol dan penyelenggaraan kenderaan.
Pada skala lebih luas, kurangnya perjalanan harian berpotensi mengurangkan kesesakan, penggunaan bahan api dan pelepasan karbon.
Lebih penting, sistem kerja fleksibel dapat memperkukuh daya tahan perkhidmatan awam ketika berdepan gangguan seperti bencana atau kecemasan. Namun, manfaat tersebut hanya dapat direalisasikan jika penjawat awam, ketua jabatan dan masyarakat melihat HBH sebagai perubahan budaya kerja yang menuntut tanggungjawab bersama. –UTUSAN
DR. SAMSUL FARID SAMSUDDIN
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Perpustakaan dan Maklumat,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya










