MBPJ beri penjelasan isu saman tempat letak kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil maklum laporan bertajuk Saman parkir luar waktu operasi: Pengguna mahu penjelasan MBPJ yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 15 Ogos, lalu. 

Majlis ingin menjelaskan tempoh bayaran tempat letak kereta dan peraturan meletakkan kenderaan adalah dua perkara yang berbeza. Jalan Persiaran Barat merupakan lokasi tempat letak kereta terkawal yang disenaraikan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBPJ 2007. 

Berdasarkan peruntukan tersebut, kawalan caj tempat letak kereta di lokasi berkenaan adalah pada Isnin hingga Jumaat, pukul 8 pagi hingga 6.30 petang, manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah percuma. 

Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBPJ 2007 turut memperuntukkan perkara berkaitan petak dan tempat letak kereta serta halangan di tempat letak kereta awam yang diwartakan. 

Walau bagaimanapun, waktu tempat letak kereta percuma tidak bermaksud pengguna dibenarkan meletakkan kenderaan di mana-mana sahaja atau di luar petak yang telah ditetapkan. 

Semakan mendapati tindakan penguatkuasaan terhadap individu terbabit bukan disebabkan kegagalan membayar caj tempat letak kereta selepas pukul 6.30 petang atau pada hari Sabtu, sebaliknya meletakkan kenderaan di lokasi selain tempat dan petak letak kereta yang disediakan oleh MBPJ. 

Berdasarkan rekod, terdapat dua kejadian melibatkan kenderaan individu terbabit di Jalan Persiaran Barat, iaitu pada 11 Julai 2026 dan 3 Ogos 2026. 

Bagi kejadian pada 11 Julai 2026, walaupun tarikh tersebut merupakan hari Sabtu dan caj tempat letak kereta adalah percuma, namun kenderaan berkenaan didapati diletakkan di luar petak parkir yang ditetapkan dan di atas garisan kuning. 

Oleh itu, tindakan penguatkuasaan tersebut bukan merupakan tindakan mengenakan caj atau saman kerana parkir berbayar pada hari Sabtu. 

Bagi kejadian pada 3 Ogos 2026 pula, tindakan yang diambil adalah berdasarkan kedudukan kenderaan yang diletakkan di luar petak dan di atas garisan kuning selain tidak berkaitan dengan tempoh operasi bayaran tempat letak kereta. 

MBPJ ingin menegaskan bahawa ‘percuma’ merujuk kepada pengecualian bayaran caj tempat letak kereta bagi tempoh yang ditetapkan dan bukan pengecualian daripada mematuhi peraturan lalu lintas, petak parkir serta larangan meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan. 

Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan ruang jalan raya dan kemudahan tempat letak kereta digunakan secara teratur, tidak mengganggu aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. 

Justeru, tindakan penguatkuasaan telah dibuat berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan dan bukannya semata-mata berdasarkan waktu pengenaan caj tempat letak kereta. 

Majlis amat menghargai maklum balas masyarakat dan akan terus memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, konsisten dan berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa, demi memastikan pengurusan ruang awam dan sistem parkir di Petaling Jaya berada pada tahap yang teratur serta adil kepada semua pengguna. –UTUSAN

 

SEKRETARIAT MEDIA UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, 

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN