Rohingya perlu perlindungan bukan kebencian

ISU Rohingya perlu ditangani dengan pendekatan yang tegas tetapi tetap berperikemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMUNITI pelarian Rohingya di Malaysia berdepan tekanan yang semakin membimbangkan susulan kempen kebencian dan sentimen xenofobia yang berleluasa. 

Dalam keadaan itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya sebagai langkah awal hasil rundingan dua hala mencetuskan persoalan besar mengenai nasib mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan ASEAN Kementerian Luar Myanmar, Han Win Aung, dilaporkan menjelaskan proses berkenaan hanya melibatkan warganegara Myanmar yang sah dan tidak merangkumi Rohingya. 

Beliau turut merujuk komuniti tersebut sebagai ‘Bengali’, istilah yang mencerminkan pendirian Myanmar yang tidak mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada rakyatnya.

Percanggahan kenyataan ini menimbulkan persoalan asas, siapakah sebenarnya yang akan dihantar pulang dan atas kerangka apakah proses tersebut dilaksanakan?

Persoalan pertama menyentuh prinsip non-refoulement, iaitu larangan menghantar seseorang kembali ke tempat yang boleh mengancam keselamatan atau nyawanya. 

Penghantaran pulang sewajarnya berlaku secara sukarela, selamat dan bermaruah selepas keadaan di negara asal benar-benar membolehkan mereka membina kehidupan semula.

Dalam konteks Myanmar, syarat itu masih menimbulkan keraguan. Konflik bersenjata yang berlarutan sejak 2021 menyebabkan kematian, perpindahan penduduk serta krisis kemanusiaan yang besar. 

Bagi Rohingya pula, keadaan menjadi lebih rumit apabila mereka berdepan konflik antara junta Myanmar dan Tentera Arakan. Selagi status kewarganegaraan mereka tidak diiktiraf, kepulangan tanpa jaminan keselamatan dan perlindungan undang-undang berisiko mengulangi penderitaan yang sama.

Kerajaan perlu menjelaskan kriteria pemilihan, status individu yang terlibat, prosedur penghantaran serta jaminan keselamatan selepas mereka kembali. Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) juga perlu diperjelas supaya masyarakat memahami sama ada mekanisme itu bertujuan menyediakan perlindungan atau menjadi saluran penghantaran pulang.

Pada masa sama, Malaysia perlu memastikan keputusan dibuat berdasarkan kepentingan kemanusiaan, bukan semata-mata pertimbangan pentadbiran. Sebelum seseorang memilih untuk kembali, mereka perlu menerima maklumat yang lengkap, kaunseling serta gambaran sebenar mengenai keadaan di negara asal.

Jika proses integrasi gagal, mereka mungkin terpaksa kembali ke negara penerima dan mencetuskan kitaran penghantaran pulang yang berulang.

Malaysia juga perlu melihat isu ini dari sudut jangka panjang. Perlindungan terhadap pelarian tidak semestinya bermakna mereka diberikan keistimewaan tanpa batas. Sebaliknya, kerajaan boleh menyediakan kerangka yang membolehkan mereka berdikari, termasuk akses kepada pekerjaan dan pendidikan yang terkawal.

Peluang bekerja membolehkan golongan dewasa menyumbang kepada ekonomi, manakala pendidikan membantu kanak-kanak membina masa depan yang lebih baik. Pendekatan ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan serta mengecilkan ruang eksploitasi tenaga buruh.

Program DPP pula wajar diperluas secara sistematik kepada komuniti di luar pusat tahanan. Kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)  boleh dipertimbangkan bagi memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dibina selama puluhan tahun dalam pengurusan pelarian.

Krisis Rohingya seharusnya menjadi titik perubahan kepada Malaysia untuk membentuk dasar nasional yang lebih tersusun dalam mengurus pelarian dan pencari suaka. Pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa mekanisme perlindungan, integrasi dan penyelesaian jangka panjang.

Antara nilai utama Malaysia Madani ialah ihsan, yang menuntut keprihatinan dan belas kasihan. Krisis ini memberikan ruang kepada Malaysia membuktikan nilai tersebut bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan melalui dasar yang adil, manusiawi dan bertanggungjawab.

 

RAUDAH M. YUNUS, HAMIMATUNNISA JOHAR, SOK TENG TAN, LUQMAN IBRAHIM & TASMIDA SIDIK

Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN