USAHA menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat perlu terus diperkasa menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Cinta kepada negara menjadi benteng penting dalam mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan Malaysia yang berbilang kaum. Justeru, usaha memupuk jiwa merdeka tidak wajar bermusim, sebaliknya perlu menjadi amalan sepanjang zaman.
Institusi keluarga merupakan asas pembentukan jati diri sejak usia muda. Ibu bapa boleh memperkenalkan sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan, mengibarkan Jalur Gemilang serta menonton dokumentari berkaitan sejarah tanah air bersama anak-anak. Pendekatan mudah seperti ini mampu menanam rasa bangga terhadap negara secara semula jadi.
Institusi pendidikan pula perlu menjadikan sejarah dan patriotisme lebih dekat dengan generasi muda. Aktiviti seperti pertandingan bahas, teater kemerdekaan, kuiz sejarah dan program kenegaraan boleh dilaksanakan dengan pendekatan kreatif.
Pengajaran Sejarah juga perlu bergerak melangkaui hafalan fakta supaya murid memahami pengorbanan generasi terdahulu serta menghargai kebebasan yang dinikmati hari ini.
Dalam era digital, media massa dan platform sosial turut mempunyai pengaruh besar. Kandungan kreatif seperti video pendek, dokumentari, siaran langsung berkaitan sejarah serta karya muzik patriotik mampu mendekati golongan belia. Penyampaian yang segar dan konsisten dapat menjadikan semangat cinta akan negara lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat juga boleh memainkan peranan melalui program kemasyarakatan.
Gotong-royong, sukan rakyat, kegiatan kebudayaan dan majlis muhibah dapat mempertemukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Hubungan yang erat sesama jiran menjadi asas kepada perpaduan yang lebih kukuh.
Kerajaan pula perlu memastikan program sambutan kemerdekaan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar. Acara kebangsaan boleh disokong dengan penggunaan teknologi seperti pertunjukan dron dan pemetaan cahaya bagi menarik minat generasi muda.
Pada masa sama, pemimpin masyarakat serta wakil rakyat perlu menunjukkan teladan dengan mengetepikan perbezaan politik ketika menyemarakkan semangat kenegaraan.
Penghayatan terhadap lagu, Negaraku dan Rukun Negara juga tidak harus sekadar menjadi rutin dalam majlis rasmi. Rakyat perlu memahami makna di sebalik setiap ungkapan sebagai asas kesetiaan kepada raja, negara dan masyarakat.
Akhirnya, patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera atau menyertai sambutan pada bulan kemerdekaan. Ia tercermin melalui kesediaan rakyat menjaga perpaduan, menghormati kepelbagaian, mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Semangat cinta akan tanah air perlu disemai sejak kecil, diperkukuh sepanjang kehidupan dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Dengan kesungguhan semua pihak, jiwa merdeka akan terus subur dan menjadi kekuatan Malaysia menghadapi masa depan. -UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya










