APABILA siren kedengaran dari belakang, reaksi kebanyakan pengguna jalan raya ialah mencari arah bunyi tersebut. Ada yang segera memperlahankan kenderaan, beralih ke tepi atau memberi laluan.
Namun, dalam keadaan trafik sesak, tindakan spontan tanpa memahami situasi sebenar boleh mengundang risiko.
Keadaan ini menunjukkan keselamatan ketika kenderaan kecemasan menjalankan operasi bukan sekadar bergantung pada siren dan lampu amaran.
Pengguna perlu mengesan bunyi, mengenal pasti kedudukan kenderaan, memerhati persekitaran serta memilih tindakan paling selamat dalam tempoh yang singkat.
Keberkesanan siren turut dipengaruhi keadaan persekitaran.
Bunyi trafik yang tinggi, tingkap kenderaan tertutup atau keadaan jalan yang sibuk boleh menyebabkan seseorang mendengar amaran tetapi mengambil masa untuk menentukan arah kedatangannya.
Cabaran menjadi lebih besar ketika menghampiri persimpangan. Pada ruang yang sama mungkin terdapat kereta dari beberapa arah, motosikal, bas, lori dan pejalan kaki.
Setiap pihak pula bertindak berdasarkan pandangan serta kedudukan masing-masing. Justeru, persimpangan mempunyai banyak titik konflik yang memerlukan perhatian dan pertimbangan serentak.
Keselamatan operasi perlu dibina melalui beberapa lapisan perlindungan, termasuk pemanduan defensif, kelajuan bersesuaian, pemerhatian menyeluruh dan komunikasi berkesan antara anggota.
Jika satu kawalan gagal berfungsi seperti dijangka, mekanisme lain masih mampu mengurangkan kemungkinan berlaku kemalangan.
Jenis kenderaan juga wajar diberi perhatian. Kenderaan berat mempunyai titik buta lebih luas serta memerlukan jarak yang lebih panjang untuk berhenti.
Melihat lori atau bas tidak bermakna pemandunya semestinya dapat melihat kedudukan kita dengan jelas.
Dalam beberapa negara, teknologi turut digunakan bagi meningkatkan keselamatan. Sistem Keutamaan Kenderaan Kecemasan misalnya, membolehkan lampu isyarat diubah sementara bagi memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada tindakan pengguna pada saat akhir.
Keselamatan ketika operasi memerlukan kerjasama manusia, kenderaan, prosedur, latihan dan teknologi.
Siren hanyalah satu bentuk amaran. Apabila bunyi itu kedengaran, setiap pengguna perlu mengambil masa untuk melihat, memahami keadaan dan bertindak dengan berhati-hati.
Dalam keselamatan jalan raya, beberapa saat membuat keputusan tepat jauh lebih bernilai daripada beberapa saat yang cuba dijimatkan. – UTUSAN
DR. INTAN SURAYA NOOR ARZAHAN
Pensyarah Kanan,
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Jabatan Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










