Setiap orang berhak diberi peluang kedua apabila diri benar-benar mahu berubah dan kembali ke pangkal jalan. Selagi seseorang itu masih hidup, pintu taubat masih terbuka.
Kita juga sebagai manusia, tidak berhak untuk menghukum seseorang kerana siapa dirinya dahulu, tetapi melihat usahanya untuk berubah dan siapa dirinya hari ini.
Minggu ini saya kongsikan kisah Faiza (bukan nama sebenar) wanita yang pernah terjebak dengan hubungan yang salah selama bertahun-tahun.
Wanita berusia pertengahan 55 tahun itu pernah terperangkap antara cinta, harapan dan maruah diri.
Dia yang pernah menjadi perempuan simpanan selama 10 tahun itu akhirnya berjaya menamatkan hubungan yang tidak sah dan tidak membawanya dekat kepada Allah.
Hari ini Faiza menjalani kehidupan bahagia selepas menjadi isteri sah kepada Mustafa, (bukan nama sebenar) selama hampir 20 tahun.
Dia bahagia bukan kerana hidupnya sempurna, tetapi kesediaan lelaki itu menerima segala kekurangan dan masa silamnya.
Dalam pertemuan diatur baru-baru ini, Faiza mengakui dia tidak pernah berniat untuk mengenang apalagi membuka kisah lalu, tetapi lebih kepada pengajaran.
Sejak dia memilih untuk meninggalkan sebuah hubungan yang mengikatnya selama 10 tahun itu kehidupannya berubah.
Dulu, dia pernah menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki yang sudah berkeluarga. Dia pernah merayu untuk menjadi isteri sah, malah pernah berkali-kali untuk berpisah.
Namun akhirnya, dia terpaksa memilih untuk mengundur diri. Bukan tidak mencintai lelaki itu, tetapi dia sedar bahawa hidupnya tidak pernah bahagia dan tenang.
Dia hanya perempuan simpanan kepada seorang lelaki, Haiqal, (bukan nama sebenar). Menyambung cerita lalu, kata Faiza sedekad bukanlah masa yang singkat. Tempoh itu penuh penantian, dan harapan yang tidak pernah ada kepastian.
Kata Faiza pada awalnya dia tidak pernah terfikir menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki yang sudah berkeluarga.
Dia hanyalah seorang wanita yang sedang melalui fasa hidup yang sunyi selepas dikecewakan teman lelaki. Dalam kesunyian itu, dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang jauh lebih berusia daripadanya.
Lelaki itu hadir dengan penuh perhatian, kata-kata manis dan janji untuk sentiasa bersama. Sedikit demi sedikit hubungan mereka menjadi rapat..
Lama kelamaan, perasaan sayang itu semakin dalam, sehingga dia sanggup menerima kedudukan sebagai perempuan simpanan. Ketika itu juga dia mengetahui Haiqal sudah berkeluarga..
“Sebaik mengetahui. saya cuba mengundurkan diri. Namun semakin saya cuba menjauhkan diri, perasaan sayang semakin kuat,” ujarnya.
Hari berganti hari. Bulan bertukar tahun. Dalam tempoh itu Faiza mula memahami sesuatu yang selama ini cuba dinafikan. Dia mula sedar dirinya juga berhak memiliki kehidupan yang bebas daripada hubungan yang menyakitkan. Bermula dari situ, konflik mula muncul.
Faiza mula berasa cemburu, sakit hati, apabila melihat Haiqal sering bersama keluarga. Sepanjang perhubungan itu, akui Faiza bukan dia tidak pernah meminta Haiqal untuk memperisterikannya.
Namun pelbagai alasan diberikan termasuk mahu menjaga hati isteri dan anak-anak.
Pejam celik, tanpa disedari hubungan itu memasuki 10 tahun. Pada awalnya, Faiza menyangka masa akan membawa mereka kepada fasa seterusnya.
Namun tahun demi tahun berlalu, dia masih berada di tempat sama, menunggu, berharap dan menerima alasan serupa.
Dan akhirnya, dia sedar, sampai waktunya dia perlu berhenti bertanya dan menagih kasih sayang.
Akhirnya, pada Ogos 2006 titik permulaan keberaniannya muncul untuk mengundur diri dan menamatkan hubungan itu.
Keputusannya untuk berundur diri tidak mudah. Hari pertama terasa kehilangan. Hari-hari yang dilalui terasa panjang.
Sejujurnya kata Faiza, hatinya ketika itu belum dapat melepaskan seseorang yang pernah menjadi sebahagian hidupnya. Namun dia terus bertahan dengan keputusan diambil. Dalam usaha melupakan lelaki itu, dia mula mencari sesuatu yang lebih kekal. Dia mula mendekati diri kepada Allah.
“Apabila saya semakin dekat dengan Allah, saya mula sedar bahawa selama ini hubungan itu bukan hubungan yang diredai Allah. Kebergantungan saya juga lebih kepada manusia, bukan kepadaNya,” ujarnya.
Setahun selepas berpisah dengan Haiqal dia dipertemukan dengan Mustafa, lelaki yang menerima dirinya dengan segala kekurangan dan kisah silamnya.
Bukan semua orang mampu menerima sejarah seseorang tanpa menghukum. Alhamdulilah, Mustafa memahami seseorang itu boleh berubah dan berhak diberi peluang kedua.
“Dia juga tidak pernah menjadikan masa silam saya sebagai senjata setiap kali berlaku perselisihan faham antara kami,” ujarnya.
Pertengahan September depan, genap 19 tahun mereka berumah tangga. Kehidupan mereka sederhana dan bahagia walaupun tanpa dikurniakan cahaya mata.
Pada awalnya, akui Faiza, dia berasa sunyi dan kekosongan. Ada ketikanya dia tertanya-tanya bagaimana rasanya mempunyai anak-anak.
Namun lama kelamaan, dia belajar bahagia tidak semestinya dalam bentuk yang diimpikan.
“Alhamdulilah, kami berjanji untuk saling menjaga dan menghargai antara sama sama lain.
“Sepanjang tempoh melayari bahtera rumahtangga, saya belajar untuk memahami dan yakin bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Pengampun.
Dahulu saya mengejar cinta seorang lelaki dan sangat-sangat takut kehilangannya.
Hari ini, Allah hadirkan saya dengan seorang lelaki yang menyayangi dan menghargai saya.
“Saya bersyukur sepanjang berumah tangga, suami tidak pernah meminta untuk saya menjadi sempurna, tetapi berusaha untuk menjadi lebih baik dan jujur,” ujarnya penuh makna.
Siapalah kita untuk menghukum Faiza yang pernah terjebak dalam hubungan yang salah.
Sebaliknya, kisah Faiza memberi pengajaran kepada kita bahawa setiap orang berhak mendapat peluang kedua, bertaubat dan memilih untuk berubah.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang,”- Surah Az-Zumar 53.










