MINAT terhadap bunga menjadi antara sebab pemilik kediaman dua tingkat di Batu Caves, Selangor ini memilih konsep Inggeris klasik.
Selain memberikan sentuhan lembut, konsep berkenaan turut mewujudkan suasana yang tenang dan selesa.
Menariknya, elemen kayu jati turut digabungkan dalam dekorasi, sekali gus menambahkan kehangatan dan seri pada kediaman.
Zuhairah Yusof Ayudin, 64, berkata, konsep berkenaan sudah diterapkan di kediamannya sejak lebih 30 tahun lalu.
“Saya memang suka menghias rumah dan sejak dulu lagi tertarik dengan konsep Inggeris klasik.
“Walaupun sudah lebih tiga dekad, saya masih selesa dengan konsep ini dan tidak terfikir untuk menukarnya,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Apatah lagi, katanya, konsep Inggeris klasik bersifat malar segar dan tidak mudah ketinggalan zaman.

Bercerita lanjut, katanya, dekorasi dilakukan sendiri secara berperingkat dengan menitikberatkan susun atur, padanan warna, kesesuaian ruang dan kemampuan.
Rujukan utamanya ketika itu ialah majalah hiasan dalaman seperti Impiana dan Home Living, yang banyak memberikan idea serta inspirasi dalam menghias kediaman.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak lelaki ini tidak terlalu bergantung kepada contoh rumah orang lain sebaliknya, idea itu diolah mengikut cita rasa dan kemampuan kewangannya.
Bahkan, kebanyakan perabot dan hiasan rumah dibeli sedikit demi sedikit sehingga lengkap seperti sekarang.
“Selepas bersara, dunia saya memang di rumah, sebab itu, saya mahu kediaman ini sentiasa cantik dan selesa.
“Sebenarnya, menghias rumah tidak susah, asalkan pandai padankan warna dan susun atur supaya tidak nampak caca-marba serta serabut,” katanya.
Rekaan, corak ringkas
Bagi memastikan ruang tamunya tidak terlalu sarat, Zuhairah lebih menggemari perabot dan aksesori dengan rekaan ringkas.
Sebagai contoh, langsir dan sofa pilihannya berwarna putih serta coklat tanpa sebarang corak.

Malah, almari dan kerusi kayu jati yang dipilih juga tidak mempunyai ukiran atau kerawang berlebihan.
Langkah itu memudahkannya untuk menambah aksesori lain tanpa menjadikan ruang kelihatan sesak.
“Kalau perabot sudah banyak corak, nanti susah hendak dipadankan dengan hiasan lain terutama bunga tiruan.
“Saya lebih suka yang ringkas supaya ruang tamu nampak kemas, teratur dan sedap mata memandang,” katanya.
Katanya, bunga ros, orkid dan lili dalam rona putih serta merah jambu antara pilihan yang sering menghiasi kediamannya, selain tumbuhan hijau seperti keladi.
Barangan vintaj
Zuhairah turut memiliki koleksi barangan lama dan antik yang dikumpulnya sejak dulu lagi.
Antaranya termasuk set pinggan, mangkuk dan cawan bermotifkan bunga kangkung di samping pelbagai jenis pasu, tepak sirih dan dulang.

“Selain itu, saya juga ada beberapa piring vintaj tetapi masih tersimpan di dalam kotak dan belum berkesempatan digantung pada dinding.
“Kesemua koleksi ini dibeli ketika masih bekerja dulu dan selepas bersara, saya tidak lagi menambahnya kerana apa yang ada sekarang sudah memadai,” katanya.
Koleksi berkenaan bukan sahaja mengimbau nostalgia, malah turut memberikan sentuhan klasik yang melengkapi konsep Inggeris di kediamannya.










