Profesion tidak pernah menjadi penghalang untuk seseorang terus berbakti kepada masyarakat. Sebaliknya, kerjaya mampu menjadi platform terbaik untuk menyemai nilai empati, memperkukuh semangat kesukarelawanan dan melahirkan lebih ramai individu yang prihatin terhadap nasib insan lain.
Kesibukan memenuhi tuntutan kerjaya sering dianggap antara faktor yang membataskan penglibatan seseorang dalam aktiviti kemanusiaan. Justeru, ramai memilih untuk menyumbang dalam bentuk kewangan sebagai tanda sokongan terhadap pelbagai inisiatif kebajikan.
Namun, bagi sesetengah individu, kepuasan sebenar bukan hanya menyalurkan sumbangan sebaliknya hadir apabila dapat turun padang, mendekati masyarakat dan berkongsi rezeki secara langsung. Walaupun terikat dengan komitmen kerjaya, mereka tetap mencari ruang untuk bersama golongan yang memerlukan.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Dr. Shafezah Abdul Wahab yang juga pengasas Suspended Meal Association Malaysia (Suspended Meal), penglibatan dalam aktiviti kemanusiaan lahir daripada kesedaran bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Katanya, kerjaya sebagai pendidik tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak berbakti. Sebaliknya, beliau sentiasa berusaha mengimbangi tanggungjawab akademik dengan kerja-kerja kebajikan.
“Keutamaan saya tetap diberikan kepada amanah sebagai seorang pensyarah kerana itulah tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Namun, pada masa yang sama saya akan memastikan usaha kebajikan ini terus berjalan,” katanya.

Semangat Tidak Pernah Pudar
Sebelum bergelar pensyarah, Dr. Shafezah memulakan kerjayanya sebagai wartawan sebelum berkhidmat sebagai penganalisis media di Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan. Sehingga kini, dia masih aktif menulis sebagai kolumnis dan penganalisis politik di media tempatan.
Selepas hampir sedekad berkecimpung dalam industri media, dia mengambil keputusan beralih ke bidang akademik bagi menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada generasi muda.
Walaupun memilih laluan kerjaya yang berbeza, semangat untuk mendekati masyarakat tidak pernah luntur. Keinginan itulah yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suspended Meal Association Malaysia pada tahun 2016 di UiTM Melaka.
Gerakan tersebut bermula dengan usaha kecil dalam kalangan mahasiswa sebelum berkembang menjadi sebuah inisiatif kemanusiaan yang melibatkan masyarakat lebih luas.
Berkongsi Rezeki Tanpa kira Latar Belakang
Menurut Dr. Shafezah, penubuhan Suspended Meal berteraskan prinsip berkongsi rezeki dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun taraf kehidupan.
Berpegang kepada prinsip tersebut, Suspended Meal tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan tertentu sebaliknya membuka ruang bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sokongan.

“Rezeki yang kita miliki bukan untuk dinikmati seorang diri. Ia akan lebih bermakna apabila dikongsi bersama mereka yang memerlukan,” katanya.
Setahun selepas penubuhannya, gerakan tersebut mula meluaskan skop bantuan ke luar kampus dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara kolaborasi terawal ialah bersama penyanyi terkenal, Faizal Tahir, menerusi organisasi kebajikannya.
Pengalaman hidup serta kerjaya dalam dunia kewartawanan turut membentuk kepekaan dia terhadap realiti kehidupan masyarakat.

“Dunia ini sangat luas dan setiap orang melalui perjalanan hidup yang berbeza. Sebab itu saya percaya rezeki yang saya miliki perlu dikongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Apabila saya bekerja dan mengembara ke pelbagai negara, saya melihat sendiri kehidupan masyarakat yang serba kekurangan. Pengalaman itu membuatkan saya lebih bersyukur dan menyedari masih ramai insan yang memerlukan perhatian serta bantuan,” katanya.
Atas dasar itu, fokus utama Suspended Meal tertumpu kepada bantuan makanan, keperluan asas serta pendidikan kepada komuniti di dalam dan luar negara.
Semai jiwa Sukarelawan Dalam Kalangan Mahasiswa
Dr. Shafezah turut melihat penglibatan dalam aktiviti kemanusiaan sebagai proses pendidikan yang mampu membentuk jati diri golongan muda.
Menurutnya, ramai mahasiswa sebenarnya mempunyai keinginan untuk membantu masyarakat namun tidak mengetahui saluran yang sesuai bagi memulakan langkah.
“Saya melihat peluang bersama mahasiswa sebagai satu amanah yang besar. Tanggungjawab saya bukan hanya menyampaikan ilmu di dalam bilik kuliah tetapi juga membentuk mereka menjadi insan yang mempunyai nilai kemanusiaan.
“Melalui aktiviti kemanusiaan, mereka bukan sahaja membantu orang lain malah membina sahsiah, mengukuhkan empati serta memperoleh pengalaman hidup yang tidak mungkin dipelajari di dalam kelas,” katanya.
Walaupun mempunyai pasukan sukarelawan tetap, dia sentiasa membuka peluang kepada para pelajarnya untuk menyertai setiap program yang dianjurkan.
Pendekatan itu bukan sahaja memberikan pendedahan terhadap realiti kehidupan masyarakat, malah menyemai nilai tanggungjawab sosial dalam diri mereka.

“Dalam setiap kursus yang saya kendalikan, saya akan memasukkan elemen kemanusiaan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran.
“Saya juga memanfaatkan media sosial untuk berkongsi aktiviti yang dijalankan agar lebih ramai orang mendapat inspirasi untuk turut serta membantu masyarakat,” katanya.
Setiap Pertemuan Memberi Pengajaran
Bagi Dr. Shafezah, pengalaman turun padang bukan sekadar memberi bantuan malah menjadi ruang untuk beliau belajar mengenai kehidupan.
“Pada mulanya saya menyangka sayalah yang membantu mereka. Namun lama-kelamaan saya sedar bahawa merekalah yang sebenarnya banyak mengajar saya tentang kehidupan.
Saya masih ingat ketika menyantuni anak-anak di Chow Kit.
“Seorang daripada mereka memberitahu dia tidak pernah mengenali ibu bapanya. Kisah itu benar-benar membuka mata saya ada insan yang diuji dengan cabaran yang jauh lebih berat daripada apa yang pernah saya lalui,” katanya.
Sejak itu, dia bertekad untuk terus membantu masyarakat mengikut kemampuan yang ada kerana setiap pertemuan menjadi peringatan agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan.
Dia berpegang teguh kepada prinsip sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Menurutnya, setiap individu mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada masyarakat. Walaupun bantuan yang diberikan kelihatan kecil, impaknya mungkin besar dalam kehidupan seseorang.










