KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran berani memburu dua pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus bertekad menamatkan kemarau 36 tahun dalam acara regu berpasukan.
Presiden PSM, Datuk Wira Sumali Reduan berkata, sasaran tersebut dianggap realistik berdasarkan tahap kesiapsiagaan dan komitmen luar biasa yang dipamerkan oleh barisan pemain sepanjang tempoh latihan pusat di Akademi Sepak Takraw Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2026 memberitahu, fokus utama adalah untuk mengulangi kegemilangan edisi 1990 di Beijing, yang merupakan kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara regu berpasukan di pentas Sukan Asia.
“Harapan saya dan seluruh peminat sepak takraw tanah air adalah untuk melihat emas dibawa pulang. Kita sudah lebih 30 tahun tidak memenangi emas bagi acara regu berpasukan sejak 1990.
“Bagi acara regu pula, kita pernah membuktikan kemampuan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang. Jadi untuk kali ini, kita mahu kedua-duanya,” katanya selepas meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Sepak Takraw Malaysia, semalam.
Mengulas mengenai persaingan, Sumali tidak menafikan ancaman daripada kuasa besar seperti Thailand selain peningkatan mendadak pasukan Indonesia, Vietnam dan Myanmar.
“Kita tidak boleh memandang rendah mana-mana negara. Thailand tetap pencabar utama, tetapi negara lain juga sudah banyak menunjukkan peningkatan.
“Namun, pemain kita sudah biasa dengan tekanan di peringkat antarabangsa dan saya
percaya mereka mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Sumali yang juga memikul tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2026 turut mengakui jawatan tersebut memberi tekanan positif untuk beliau memastikan sukan sepak takraw menyumbang pingat emas buat negara. – UTUSAN










