ATLANTA: Scottie Scheffler terus mengukuhkan statusnya sebagai pemain No.1 dunia apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menjuarai Piala FedEx buat kali kedua, sekali gus mengatasi legenda golf Tiger Woods sebagai pemain dengan pendapatan kerjaya tertinggi dalam sejarah Jelajah PGA.
Scheffler mencatat empat bawah par 66 pada pusingan terakhir Kejuaraan Jelajah di East Lake Golf Club untuk menamatkan saingan dengan 16 bawah par 264, tiga pukulan mengatasi Viktor Hovland dari Norway yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 13 bawah par selepas mencatat dua atas par 72.
Kemenangan itu menyaksikan Scheffler mengulangi kejayaan 2024 dan menyertai kelompok elit bersama Woods serta Rory McIlroy sebagai pemain yang memenangi Piala FedEx lebih daripada sekali.
“Saya bernasib baik kerana bermula dengan baik hari ini dan kemudian dapat menghasilkan beberapa birdie untuk memastikan kemenangan,” kata Scheffler selepas menamatkan saingan.
“Terus berjuang hari demi hari adalah sesuatu yang amat saya banggakan. Datang dari belakang dan mampu memenangi kejohanan adalah perasaan yang sangat hebat,” katanya.
McIlroy kekal pemegang rekod dengan tiga kejuaraan pada 2016, 2019 dan 2022, manakala Woods melakukannya pada 2007 dan 2009.
Lebih manis, Scheffler kini mengungguli senarai pendapatan kerjaya Jelajah PGA dengan AS$130.39 juta mengatasi Woods yang mengumpul AS$120.99 juta.
Hadiah utama AS$10 juta daripada kemenangan itu melonjakkan pendapatannya ke tahap baharu.
Memulakan pusingan terakhir dengan ketinggalan tiga pukulan, Scheffler mula menggigit kelebihan Hovland menerusi birdie di lubang kedua dan keempat sebelum menambah birdie di lubang kelapan, ke-10 dan ke-13.
Selepas bogey di lubang ke-15, dia menghasilkan pukulan sensasi dari bunker di lubang ke-16 untuk birdie, sekali gus membuka kelebihan dua pukulan. – AGENSI/UTUSAN










