Sukan Asia 2026 pentas terakhir Farhan

Farhan Adam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam tidak menolak kemungkinan bahawa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi penampilan terakhirnya di pentas temasya terbesar di Asia itu.

Farhan berkata, faktor usia dan tempoh empat tahun yang perlu ditunggu untuk edisi seterusnya membuatkan dia mahu memberikan sepenuh fokus bagi merealisasikan impian membantu Malaysia meraih pingat emas pada temasya kali ini.

“Sukan Asia ini diadakan empat tahun sekali. Untuk menunggu empat tahun lagi, saya rasa saya tidak mampu untuk menghadapinya. Jadi, fokus saya adalah untuk edisi kali ini.

“Insya-Allah, jika pingat emas dapat diterjemahkan, sara rasa itu adalah penutup yang baik. Pastinya Sukan Asia ini bakal menjadi yang terakhir buat saya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi acara regu dan regu berpasukan, Farhan menyifatkannya sebagai satu cabaran yang realistik meskipun sedar tekanan yang bakal dihadapi.

“Peluang kita sebenarnya lebih cerah kerana pemain sekarang sangat yakin. Jika dahulu, pantang dengar nama Thailand saja kita sudah agak gerung tetapi sekarang pemain melihat kita berada di tahap yang sama dengan mereka.

“Sekarang ini tiada lagi perasaan takut. Apa yang penting adalah bagaimana kami menterjemahkan strategi di hari kejohanan nanti untuk mencari kemenangan,” katanya.

Sukan Asia 2026 menjadi penampilan keempat pemain berusia 37 tahun itu di pentas temasya tersebut selepas mewakili negara di Guangzhou 2010, Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2023 manakala Incheon 2014 dia tidak terpilih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN