Jing Xuan pecah rekod, raih emas SUKIPT

Ng Jing Xuan yang mewakili Universiti Sunway berjaya meraih pingat emas dalam acara merejam lembing wanita SUKIPT 2026, semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet rejam lembing Sunway University, Ng Jing Xuan menampilkan aksi cemerlang apabila merangkul pingat emas merejam lembing sekali gus memecahkan rekod temasya pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Arena Universiti Malaya (UM), semalam.

Atlet kebangsaan itu melakukan rejaman sejauh 46.92 meter (m) pada percubaan pertama untuk memperbaharui rekod temasya yang sebelum ini dicatat Nur Fatin Adibah Suharman dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dengan 44.41m pada edisi 2016.

Pingat perak menjadi milik Farisha Athirah Wai dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi rejaman 36.21m, manakala Tai Yu Tian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa pulang gangsa dengan catatan 32.74m.

Jing Xuan bagaimanapun mengakui kejayaannya itu belum cukup untuk memuaskan hatinya selepas gagal mencapai sasaran peribadi untuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik. Saya juga ada sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan, tetapi hari ini tiada rezeki untuk mendapatkannya.

“Namun, saya berjaya mencipta rekod temasya dan saya bersyukur kerana dapat memecahkan rekod itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengulas perancangannya selepas SUKIPT, Jing Xuan berkata, fokusnya kini beralih kepada persediaan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Sukan Universiti ASEAN (AUG), Grand Final VTF dan Sukan SEA tahun depan.

“Selepas SUKIPT ini, saya akan memulakan tempoh periodisasi baharu untuk Sukan SEA tahun depan.

“Untuk AUG dan juga Grand Final, saya akan cuba yang terbaik. Terutamanya, saya akan berjuang untuk pingat emas buat Malaysia. Itu matlamat saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN