KL City masih jauh cabar kelompok atas

Dollah Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Datuk Dollah Salleh menyifatkan persembahan yang dipamerkan anak buahnya masih belum mencapai tahap diperlukan untuk bersaing secara konsisten dalam Liga Super.

Kemenangan pertama ketika menewaskan DPMM FC 1-0 sememangnya memberi suntikan moral selepas permulaan yang tidak begitu meyakinkan, tetapi Dollah melihat masih terdapat jurang besar yang perlu dirapatkan, khususnya jika mahu mencabar pasukan berstatus gergasi.

“Masih banyak lagi yang harus diperbetulkan kalau kita mahu pergi lebih jauh. Setakat ini kita masih jauh lagi kalau nak dibandingkan dengan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor mahupun Kuching City FC. Kita masih jauh daripada tahap itu.

“Apa yang saya inginkan daripada persembahan pasukan sebenarnya belum tercapai lagi,” kata Dollah.

Menurut legenda bola sepak negara itu, kemenangan bukan alasan untuk pemain berasa selesa kerana persembahan ketika menentang DPMM FC masih belum mencerminkan kemampuan sebenar yang diharapkannya.

Dollah juga tidak menafikan persiapan pramusim yang bercelaru selain beberapa masalah di luar padang turut memberi kesan terhadap perkembangan pasukan, termasuk aspek keserasian antara pemain dan corak permainan yang ingin diterapkan.

Keadaan itu menyebabkan KL City masih memerlukan masa untuk mencapai tahap permainan yang lebih stabil, terutama dalam menghadapi persaingan sengit daripada kelab-kelab lain yang memiliki skuad lebih mantap.

Namun, Dollah percaya tiga mata yang diraih menerusi jaringan Paulo Josue pada penghujung permainan boleh menjadi titik mula untuk pemain membina keyakinan dan memperbaiki kelemahan secara berperingkat.

Kemenangan tersebut sekurang-kurangnya memberi ruang kepada skuad Warga Kota untuk bekerja dengan lebih tenang menjelang aksi seterusnya, selain menjadi bukti bahawa mereka mampu meraih keputusan positif walaupun persembahan belum berada pada tahap terbaik.

“Tetapi apa pun, kemenangan ini memang dapat menyuntik semangat pemain supaya mereka dapat beraksi dengan lebih baik lagi selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN