2026 musim getir buat Tang Jie

Pasangan beregu campuran kebangsaan, Chen Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie mengakui musim 2026 menjadi antara fasa paling mencabar dalam kariernya selepas beberapa perubahan besar memaksa pemain beregu campuran negara itu kembali menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.

Pemain berusia 28 tahun itu bukan sahaja kehilangan gandingan tetapnya, Toh Ee Wei yang kini menjalani pemulihan kecederaan, malah turut berdepan perubahan di kerusi kejurulatihan selepas Nova Widianto meninggalkan skuad kebangsaan.

Situasi berkenaan diakui memberi kesan kepadanya apabila Tang Jie memerlukan masa untuk menerima perubahan yang berlaku sebelum mengalihkan semula perhatian kepada perkara yang mampu diperbaikinya sebagai seorang pemain.

“Tahun ini banyak perkara yang berlaku, jadi kalau kata ia tidak mengganggu, itu tidak betul. Untuk menerima keadaan seperti ini memang memerlukan sedikit masa, terutama apabila ketua jurulatih kita juga sudah bertukar.

“Memang saya mahu menggunakan masa yang ada untuk hadam semua ini, tetapi sebagai pemain profesional, ia bergantung kepada diri sendiri dan saya perlu mencari jalan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Ee Wei mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika beraksi di Terbuka Singapura pada Mei lalu dan kini masih menjalani proses pemulihan di Melbourne, Australia.

Ketiadaan Ee Wei menyebabkan Tang Jie perlu menyesuaikan diri dengan beberapa gandingan baharu termasuk Clarissa San sebelum digandingkan bersama Cheng Su Yin bagi menghadapi China Masters di Shenzhen bermula esok.

Dalam masa sama, Tang Jie tidak melihat perubahan di kerusi kejurulatihan sebagai alasan untuk terus dibelenggu ketidaktentuan, sebaliknya bersedia memberikan kerjasama kepada pengendali baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN