Adik-beradik kuasai podium BMX Flatland wanita

Airen (tengah), Aidryana (kiri) dan Qistina selepas majlis penyampaian pingat dalam acara BMX Flatland wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan adik-beradik, Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril dan Nia Nur Aidryana mencipta kejutan apabila menguasai podium selepas masing-masing meraih pingat emas dan perak dalam acara BMX Flatland wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Xtreme Park MBPJ, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu hadir dalam penampilan sulung mereka pada temasya dwitahunan berkenaan, selain BMX Flatland turut dipertandingkan buat pertama kali di temasya tersebut.

Airen, 18, muncul juara selepas mengumpul 81.67 mata, pingat perak milik adiknya, Aidryana selepas meraih 74 mata manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Nur Qistina Adriana Mohd Nor Abadi (67.67 mata).

Bagi Airen, kejayaan tersebut cukup membanggakan selepas dia melalui tempoh sukar apabila berdepan kurang keyakinan diri susulan kekalahan kepada adiknya dalam pertandingan sebelum ini.

Airen (kanan) bersama adiknya, Aidryana.

“Saya rasa bangga dengan diri sendiri. Terima kasih kepada jurulatih yang mengajar saya daripada tidak tahu apa-apa sehingga berjaya mendapatkan pingat emas untuk Selangor.

“Saya sebenarnya tidak menjangka akan menang hari ini kerana sejak kebelakangan ini saya agak kurang berkeyakinan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Airen dan Aidryana mula menjinakkan diri dengan sukan lasak tersebut selepas mendapatkan sokongan dan galakan daripada bapanya, Mohd Aszeril Mohd Noor.

“Saya mula daripada ayah. Ayah pernah masuk X Games dan pertandingan besar di luar negara. Saya belajar semuanya daripada ayah, tetapi tiada paksaan. Saya sendiri yang minat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN