AS ‘cekik’ ekonomi Iran melalui minyak, sekatan global

BENDERA kebangsaan Iran dipamerkan pada sebuah bangunan di Dataran Enghelab, Teheran, ketika konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memasuki bulan keenam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memperhebat usaha menekan ekonomi Iran dengan menyasarkan sumber pendapatan minyak, rizab mata wang asing serta rangkaian kewangan yang membantu Teheran mengelak sekatan.

Jabatan Perbendaharaan AS mengambil langkah memutuskan Banque Misr UAE daripada sistem kewangan Amerika selepas menuduh cawangan bank Mesir itu memproses AS$1.8 bilion (RM7.25 bilion) untuk syarikat yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan rangkaian perbankan bayangan Iran.

Langkah itu dibuat empat hari selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, melancarkan operasi ‘Economic Outcast‘, kempen untuk memutuskan hubungan ekonomi Iran dengan dunia.

Sasaran utama Washington adalah perdagangan minyak, antara sumber terbesar pendapatan eksport dan mata wang asing Teheran.

Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati, berkata eksport minyak negara itu jatuh kepada sifar susulan perang dan sekatan.

Data firma risikan komoditi, Kpler, menunjukkan penghantaran minyak mentah Iran merosot daripada purata 893,000 tong sehari pada Julai kepada hanya 156,000 tong sehari sepanjang Ogos.

AS turut memulihkan sekatan laut terhadap kapal yang bergerak dari dan ke pelabuhan Iran pada 14 Julai, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap perdagangan negara itu.

Selain minyak, Washington menyekat akses Iran kepada rizab mata wang asingnya. Hemmati berkata, rizab tersebut dibekukan AS dan Teheran tidak dibenarkan mengeluarkannya.

Iran kini semakin bergantung kepada mekanisme pembayaran alternatif, rangkaian perbankan bayangan, mata wang kripto dan orang tengah di negara ketiga bagi memindahkan hasil eksport serta mengelak sekatan.

Washington turut memperluas sekatan sekunder terhadap syarikat, bank dan individu asing yang berurusan dengan entiti Iran yang dikenakan sekatan, termasuk dalam sektor aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan.

Bessent memberi amaran mana-mana entiti yang membantu pengubahan wang haram bagi pihak Iran akan disingkirkan daripada sistem dolar AS, manakala lebih 60 entiti, individu dan kapal di seluruh dunia sedang dipertimbangkan untuk dikenakan sekatan.

Namun, keberkesanan strategi itu masih menjadi persoalan kerana Iran berdepan sekatan dan pengasingan ekonomi AS selama beberapa dekad serta membangunkan pelbagai kaedah untuk mengelakkannya.

Meskipun tekanan ekonomi Iran semakin berat dan ekonominya dijangka menguncup 6.1 peratus tahun ini, hampir enam bulan perang dan tekanan AS masih belum menghasilkan penyelesaian berkekalan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN