LONDON: Kira-kira 15 juta penduduk di seluruh dunia kini berdepan risiko bencana berkaitan glasier, termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang mungkin mengalami kejadian seumpama banjir dahsyat di Nepal.
Banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet itu mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan lebih 2,000 orang masih hilang, manakala saintis percaya bencana itu berpunca daripada runtuhan glasier di Gunung Langtang-Lirung.
Pakar memberi amaran kejadian seumpama itu bukan insiden terpencil dan berkemungkinan berlaku dengan lebih kerap apabila perubahan iklim terus meningkatkan suhu di kawasan pegunungan.
Pakar banjir glasier dari Universiti Leeds, Dr Jonathan Carrivick, berkata pemanasan global menyebabkan permafrost dan glasier mencair, sekali gus meningkatkan ketidakstabilan kawasan pegunungan.
Menurutnya, keadaan itu meningkatkan kemungkinan berlakunya kejadian sama pada masa depan, termasuk bencana yang berpotensi lebih besar.
Ancaman itu bukan hanya tertumpu di Nepal, sebaliknya turut melibatkan kawasan pegunungan di seluruh dunia yang mempunyai glasier dan permafrost tidak stabil.
Penyelidik menganggarkan kira-kira 15 juta penduduk dunia tinggal dalam zon yang berpotensi terjejas akibat kejadian berkaitan pencairan dan runtuhan glasier.
Banjaran Himalaya, Karakoram dan Hindu Kush antara kawasan paling berisiko di Asia, namun ancaman sama turut membabitkan beberapa wilayah di Amerika Utara.
Carrivick memberi amaran AS dan Kanada juga berpotensi mengalami bencana seumpama yang berlaku di Nepal.
“Amerika Utara mungkin mengalami keadaan yang serupa dengan apa yang dilihat di Nepal sekarang,” katanya.
Walaupun saintis masih menjalankan siasatan bagi memahami sepenuhnya bencana itu, bukti awal menunjukkan banjir maut di Nepal berpunca daripada runtuhan glasier.
Carrivick berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas kegagalan struktur batuan berskala besar yang turut membawa sebahagian besar glasier runtuh bersamanya.- AGENSI










