AS serang pelancar roket Iran di Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap pelancar roket Iran di Selat Hormuz pada Ahad, dalam tindakan ketenteraan pertama Washington dalam tempoh sebulan, sekali gus menamatkan tempoh reda dalam konflik yang sudah berlarutan lebih enam bulan.

Jurucakap Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), Tim Hawkins, berkata anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dikesan membuat persiapan untuk melancarkan roket yang membawa periuk api laut ke Selat Hormuz.

Tentera AS minggu lalu selesai membersihkan periuk api laut dari laluan perkapalan antarabangsa di selat berkenaan.

Beberapa agensi berita separa rasmi Iran pula melaporkan bunyi letupan kedengaran berhampiran Pulau Larak di Selat Hormuz.

Dalam kenyataan yang disiarkan penyiar negara Iran, IRGC mengesahkan beberapa anggotanya dan rakyat Iran terkorban serta cedera dalam serangan itu.

Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Jordan, menurut wartawan Fox News pada Ahad, yang memetik sumber AS.

“Sebahagian besar peluru berpandu yang dilancarkan ke arah pasukan AS setakat ini berjaya dipintas,” menurut hantaran wartawan berkenaan di platform X, sambil memaklumkan tiada impak besar dilaporkan setakat ini.

Kebangkitan semula konflik terbuka dikhuatiri meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan, terutama selepas Iran menyasarkan pangkalan tentera dan infrastruktur AS di negara-negara Teluk sejak perang tercetus pada 28 Februari lalu.

Serangan terakhir AS yang disahkan terhadap sasaran di Iran berlaku pada 29 Julai, apabila Washington melancarkan ‘gelombang serangan besar-besaran’ terhadap puluhan sasaran IRGC, termasuk tapak pemantauan dan pertahanan pantai.

1 Ogos lalu, Presiden Donald Trump berkata beliau akan mengarahkan tentera menangguhkan serangan baharu atas permintaan sekutu AS di Teluk, termasuk Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas pentadbiran Trump mengumumkan akan memberi tumpuan kepada peningkatan tekanan ekonomi, berbanding tindakan ketenteraan, dalam usaha menamatkan perang dengan Iran.

Strategi baharu itu memberi tumpuan kepada ancaman untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana negara atau entiti yang terus menjalankan urusan perniagaan dengan Teheran.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN